GERIK – Seekor anak gajah jantan maut selepas dilanggar sebuah lori di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dalam kejadian awal pagi tadi.
Lebih menyayat hati ibu kepada anak gajah berkenaan dilihat seperti ‘meratapi’ pemergiaan anaknya yang digilis lori sekitar jam 3.00 pagi tanpa berganjak dari lokasi kejadian.
Rakaman video yang tular di laman sosial itu turut menarik perhatian netizen yang menzahirkan rasa duka apabila melihat tindakan gajah betina berkenaan.
Rakaman berkenaan juga menunjukkan gajah betina berkenaan seperti mahu menolak lori yang menggilis anaknya itu sebelum dilihat berdiri kaku.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi Malaysia Gazette (MG) Perak, mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurut Yusoff, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 3.30 pagi sebelum pasukan Perhilitan Perak dan Kelantan bergerak ke lokasi kejadian.
Katanya, anak gajah jantan yang maut dilanggar lori berkenaan dianggarkan berusia lima tahun.
“Ibu gajah dianggarkan berusia 25 hingga 27 tahun berkenaan tidak berganjak dan menunggu anaknya yang dilanggar itu.
“Tindakan menangkapnya terpaksa dilakukan kerana ia dilihat seperti meratapi pemergiaan anaknya itu,” katanya.
Yusoff berkata Perhilitan masih menjalankan proses pemindahan bagi membolehkan laluan berkenaan dilalui kenderaan. -MG Perak