PARIT – Seorang wanita warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian anak bongsunya yang berusia dua bulan, Khamis lalu.
Tertuduh, Dewinta Tefa, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.
Dia dilihat menangis teresak-esak apabila gambar bayi lelakinya dan tempat kejadian berlaku ditunjukkan kepadanya ketika dia berada di dalam kandang tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa dengan cuai menyebabkan kematian Arkan Andre Soveral Asit di sebuah rumah di Jalan Sungai Jejawi, Kampung Sungai Dua, Kota Setia dalam daerah Perak Tengah pada jam 5.30 pagi, 18 September 2025.
Ibu kepada enam anak itu didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas wanita terbabit.
Bagaimanapun, peguam bela, Nurul Syuhada Mohd Yusof meminta hukuman denda minimum dikenakan kerana tertuduh tiada rekod jenayah lampau.
Katanya, tertuduh mempunyai enam anak dengan empat daripada mereka menetap di Indonesia manakala anak kelima dan bongsu yang merupakan mangsa menetap bersamanya dan suami di Malaysia.
Tambahnya, tertuduh yang berada di Malaysia sejak 2022 adalah seorang suri rumah dan ditanggung suaminya yang berkerja di ladang kelapa sawit dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,500.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh membayar denda berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan bayi terbabit maut selepas dipercayai ditindih ibunya ketika sedang tidur di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua, Kota Setia, pada Khamis lalu.
Bayi malang itu disahkan meninggal dunia di Hospital Seri Manjung sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah otak membengkak dan paru-paru sembab akibat ditindih sehingga gagal bernafas.
Polis kemudiannya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 dan ibu bayi itu ditahan untuk siasatan lanjut. – MG Perak
Artikel Berkaitan: