IPOH – Seorang ibu tidak dapat menahan sebak ketika menerima sijil Diploma Anumerta Kejuruteraan Mekanikal arwah anaknya, Ahmad Hirfan Shahrir pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 di Dewan Jubli Perak, di sini, pada Isnin.
Zawiyah Demanis, 60, yang mewakili arwah Ahmad Hirfan menerima sijil tersebut yang disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Anak bongsu kepada pasangan Zawiyah dan Shahrir Ahmad Jalaludin, 60, itu meninggal dunia akibat kanser synovial sarcoma (ketumbuhan di dalam paru-paru) pada 4 April lalu.
Ibu kepada tujuh orang anak itu berasa sedih apabila melihat keluarga lain meraikan anak masing-masing yang bergraduasi namun mereka tidak dapat berbuat demikian dan kehilangannya masih dirasai mereka sekeluarga.
“Arwah tidak pernah menyusahkan keluarga dan seorang yang suka berdikari malah dia sering memanfaatkan cuti semester dengan bekerja sambilan sebagai mekanik di bengkel kereta di Taiping untuk menimba pengalaman.
“Selain itu, arwah juga sangat suka melawak dan periang. Apabila dia memberitahu kami dia sakit kepala dan batuk berdarah, kami menyangkakan dia menghidap tibi namun selepas didiagnos doktor memaklumkan arwah menghidap kanser yang sangat agresif.
“Kami amat terkejut kerana dari kecil dia tidak pernah menghidap sebarang penyakit,” katanya ketika ditemui media pada Isnin.
Pesara guru itu berkata, anaknya pernah menjalani pembedahan untuk membuang paru-paru sebelah kanan pada Mac tahun lalu namun pada bulan Jun, timbul beberapa ketumbuhan di badan arwah.
“Arwah sekali lagi menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan tersebut dan selepas itu menjalani kemoterapi dari Julai hingga November 2023 lalu.
“Sebulan kemudian arwah membuat rawatan radioterapi tetapi keadaannya semakin teruk dan lemah,” jelasnya.
Menurutnya, Ahmad Hirfan seorang yang mempunyai semangat kuat dan tidak sentiasa bertarung melawan penyakitnya itu.
“Semasa majlis pesaraan saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Dr Burhanuddin, Taiping pada penghujung Mac lalu, Hirfan dalam keadaan sakit tetap hadir dengan bawa bantal ke pentas untuk raikan saya, dua minggu kemudiannya dia meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Shahrir berkata, arwah anaknya pernah menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang automatif di Perancis atau Jepun selepas tamat pengajian di PUO.
“Arwah sangat minat dan memang pakar dalam bidang automotif. Jika kami hendak rujuk perkara berkaitan kereta memang kami akan bertanya padanya.
“Minat mendalam dalam bidang automotif membuatkan setiap semester arwah menerima Anugerah Pengarah,“ ujarnya.
Pasangan suami isteri terbabit cukup berbangga dengan kejayaan anak mereka kesayangan mereka itu.
Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr Shamsuri Abdullah berkata, seramai 1,748 graduan diploma dan ijazah sarjana muda berjaya pengajian masing-masing akan bergraduasi pada Istiadat Konvokesyen yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini. -MG Perak
Artikel Berkaitan: