Ibu sedih kehilangan dua anak serentak akibat lemas

IPOH – Seorang ibu tidak dapat menahan rasa sedih apabila terpaksa menerima hakikat kehilangan dua anak lelaki serentak dalam kejadian lemas di sebuah kolam di tapak pembinaan berhampiran rumah mereka di Taman Chemor Ria di sini pada Rabu.

F Tinesh, 9, dan adiknya, F Denesh, 8, ditemui di dasar kolam tidak berpagar ketika bermain berhampiran kawasan berkenaan sekitar jam 8 malam kelmarin.

Ibu mangsa, S Krishnavani, 29, berkata, ketika kejadian dia baru pulang ke rumah daripada kerja dan mendapati kedua-dua anak lelakinya itu tiada di kediaman mereka.

“Pada hari kejadian hujan lebat dan sekitar jam 7.30 malam, hujan baru berhenti. Bila saya pulang ke rumah, dua anak saya paling kecil memberitahu abang-abang mereka ada dekat kolam.

“Sejurus selepas itu, saya terus bergerak ke kolam tersebut untuk mencari mereka,” katanya kepada media ketika ditemui di rumahnya di Taman Chemor Ria di sini pada Jumaat.

Ibu sedih kehilangan dua anak serentak akibat lemas
F Tinesh (kiri) dan adiknya, F Denesh yang ditemui lemas di sebuah kolam di tapak pembinaan berhampiran rumah mereka di Taman Chemor Ria di sini pada Rabu.

Menurutnya, ketika sampai di kolam berkenaan, dia segera mencari kedua-dua anaknya namun kelibat mereka tidak kelihatan.

“Saya meminta bantuan jiran dan pekerja Bangladesh yang berada di lokasi untuk mengesan anak-anak saya di dalam kolam tersebut sebelum mereka ditemui dalam keadaan yang lemah.

“Sewaktu mereka ditemui, saya masih dapat merasakan kedua-dua nadi mereka. Kemudian, ambulans tiba dan membawa mereka ke hospital,“ ujarnya.

Krishnavani berkata, kedua-dua anaknya kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Sementara itu, suaminya, Franchissdass Joohan, 28, berkata, selepas mendengar berita mengenai keadaan anaknya, dia bergegas pulang dari tempat kerjanya di Jelebu, Negeri Sembilan.

Katanya, mereka kini hanya tinggal dua orang anak iaitu F Harinesh, 6, dan F Hegethis, 5, merancang untuk membawa mereka tinggal bersama.

Ibu sedih kehilangan dua anak serentak akibat lemas
Franchissdass Joohan menunjukkan lokasi kolam di tapak pembinaan berhampiran rumahnya di Taman Chemor Ria, Ipoh yang telah meragut dua anaknya kelmarin.

Semalam media melaporkan, dua kanak-kanak lelaki ditemui lemas dalam sebuah kolam tadahan di kawasan tapak pembinaan di Lebuh Perindustrian Sin Yong Seng, Taman Chemor Ria di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilaporkan berkata, kedua-dua mangsa dipercayai keluar bermain berhampiran rumah sewa mereka sebelum ditemui orang awam di dalam kolam berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke HRPB untuk rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.39 malam hari sama.

Tambahnya, pemeriksaan di lokasi mendapati kawasan tapak pembinaan itu tidak berpagar dan tiada papan tanda larangan dipamerkan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dua beradik ditemui lemas di kolam tapak pembinaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI