Ibu tunggal mengamuk di restoran didenda RM11,800

IPOH – Seorang ibu tunggal yang mengamuk di sebuah restoran di Taman Tasek Damai, di sini pada minggu lalu didenda RM11,800 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu.

Tertuduh, Nurfarahanim Soaid, 29, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Hanini Abdullah dan Mohd Harith Mohd Mazlan di dua mahkamah berasingan.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga orang anak itu mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Mohamed Hussain Mubarakali dengan cara menampar dan menumbuk mangsa.

Oleh itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, yang membawa hukuman maksimum penjara setahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Amal Aziemah Abd Kohar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nurfarahanim dalam rayuannya memaklumkan mahkamah bahawa dia mempunyai tiga orang anak dan merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) serta mengalami gangguan bipolar.

Anis Hanini kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM1,800 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, bagi pertuduhan pertama, penjaja kuih itu mengaku bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muniasamy Rathinavel Nadar menggunakan senjata berbahaya, iaitu garpu.

Atas perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu turut mengaku melakukan khianat dengan memecahkan tiga kaca penghadang makanan milik restoran tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan boleh sampai lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Restoran SK Naina di Jalan Tawas Baru 1, Taman Tasek Damai, pada jam 6.26 pagi, 28 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Nishaalini manakala tertuduh diwakili oleh peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert S Gnanarajan.

Nishaalini menggesa mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira tertuduh menunjukkan tingkah laku agresif di tempat awam dan menggunakan garpu dan pisau pemotong daging untuk memecahkan cermin penghadang makanan di restoran tersebut.

“Tindakan itu boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam malah pemilik restoran mengalami kerugian berjumlah RM45,000, termasuk kos harta benda yang rosak dan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Gnanarajan pula dalam rayuannya memohon supaya hukuman paling minimum dikenakan ke atas anak guamnya.

“Dia adalah seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak serta menjual kuih dengan pendapatan purata sebulan sebanyak RM500. Selain itu, dia juga mengalami gangguan bipolar,” ujarnya.

Mohd Harith kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,000 bagi pertuduhan pertama dan boleh dikenakan hukuman penjara 12 bulan jika gagal bayar serta RM4,000 bagi pertuduhan kedua dengan hukuman penjara 10 bulan jika gagal bayar. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pemandu lori didenda RM12,000 pindah 120 ekor kambing tanpa kebenaran

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI