IPOH – Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) Perak dengan kerjasama Farm Fresh Berhad (Farm Fresh) melaksanakan Program Usahawan Susu ICU – Farm Fresh (PUSH) bagi membantu penerima bantuan eKasih berstatus miskin menambah pendapatan dalam bidang perniagaan susu.
Pengarah ICU Perak, Datuk Shamshuzaman Sulaiman berkata, kerjasama yang julung kali diadakan itu melibatkan 16 orang peserta eKasih yang dipilih berdasarkan kriteria ditetapkan.
Menurutnya, menerusi program berkenaan peserta akan diberikan latihan dan bimbingan keusahawanan bagi menjalankan perniagaan tersebut.
“PUSH adalah kerjasama strategik antara ICU Perak dan Farm Fresh untuk membantu usahawan eKasih meningkatkan taraf hidup dan seterusnya keluar dari kepompong kemiskinan.
“Peserta yang dipilih bukan baharu menceburi bidang perniagaan tetapi mereka yang sudah menjalankan perniagaan dan kita bantu mereka untuk menambah produk iaitu susu yang dibawa oleh Farm Fresh.
“Setiap peserta akan menerima sumbangan kit permulaan program Home Dealer susu Farm Fresh bernilai RM1,000 untuk memulakan perniagaan tersebut.
“Jadi kita harap dengan kit permulaan ini, mereka dapat memulakan perniagaan dan mencapai kejayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program PUSH di Pejabat ICU Perak, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Kesejahteraan Rakyat ICU Jabatan Perdana Menteri, Mashitah @ Suhailah Suid.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal berkata, pihaknya telah melaksanakan program seumpamanya sejak 2016.
“Kita sudah melaksanakan program ini sejak lapan tahun lalu melibatkan 2,000 usahawan di seluruh negara.
“Di Perak, sudah ada 300 usahawan yang kita bantu dan dengan adanya bantuan kit permulaan ini saya yakin lebih ramai usahawan eKasih dapat menambah produk dalam perniagaan teras mereka.
“Kit permulaan ini akan diberikan secara ‘one off’ kemudian apabila sudah habis dijual, wang diperoleh akan digunakan sebagai modal pusingan.
“Kita di Farm Fresh sentiasa menyokong usahawan tempatan untuk berdikari dan keluar daripada kemiskinan,” ujarnya.
Beliau berkata, inisiatif yang dilaksanakan ICU Perak ini sangat bagus terutamanya dalam membantu peserta eKasih untuk menambah pendapatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
OSC Sejahtera Sosial terus berusaha ‘menoktahkan’ kelompok miskin tegar