Imigresen Perak Perhebat PRM Hantar PATI Pulang

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Perak, sentiasa komited dalam menyampaikan perkhidmatan serta menjaga keamanan negeri ini daripada pendatang asing tanpa izin (PATI).

Diketuai oleh Meor Hezbullah Meor Abd Malik sebagai Pengarah Imigresen Perak, agensi di Bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu mempunyai lebih kurang 460 anggota yang bertugas di negeri ini.

Editor Malaysia Gazette (MG) Perak, Mohamad Hafizi Mohd Said berkesempatan menemubual Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Perak (Kawalan), Abdul Rahim Chung yang berkongsi usaha serta kejayaan agensi berkenaan dalam membanteras kebanjiran PATI di negeri ini.

Memulakan khidmat pada 1994 sebagai Pegawai Imigresen KP8, Abdul Rahim telah menabur bakti selama 30 tahun kepada masyarakat dalam membanteras kegiatan PATI du beberapa negeri.

Menurut Abdul Rahim, beliau mula bertugas di JIM sabah sebelum bertukar ke JIM Johor pada 2005 hingga 2022 dan kini berkhidmat di JIM Perak bermula pertengahan 2022.

Beliau berkata, meskipun Perak bukan negeri besar tetapi ia mempunyai tiga pintu masuk antarabangsa iaitu darat (Pengkalan Hulu), udara (Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah) dan laut (Hutan Melintang).

Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu Daerah Hulu Perak. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Perak juga mempunyai lima pejabat cawangan iaitu di Ipoh, Taiping, Lumut, Pengkalan Hulu dan Teluk Intan yang menjalankan fungsi penuh sebagai sebuah pejabat.

“Kesemua lima cawangan ini berfungsi mengeluarkan dokumen perjalan seperti passport, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), pas lawatan sosial dan lain-lain lagi,” katanya.

Ditanya mengenai masalah PATI di negeri ini, Abdul Rahim berkata, warga asing dari Indonesia mencatatkan jumlah paling ramai berada di Perak dan usaha menangkap serta menghantar pulang sentiasa dijalankan JIM Perak.

Katanya, ini kerana negara jiran tersebut berkongsi budaya serta bahasa yang hampir sama dengan kita sehingga membuat mereka selesa tinggal di sini meskipun dengan cara haram.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak (Kawalan), Abdul Rahim Chung ketika sesi temubual khas bersama MG Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Bandar Meru Raya, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Selain itu, keberadaan mereka juga disebabkan berlakunya penutupan sektor pekerjaan tertentu dan PATI ini enggan pulang meskipun telah diminta untuk balik ke negara asal.

“Kalau mereka di negara lain pasti akan balik tapi di Malaysia PATI Indonesia ini boleh bertahan lama dan menyedari hal ini kerajaan menawarkan kepada mereka untuk pulang dengan sukarela,” katanya.

3,203 PATI di Perak sertai PRM antara Mac hingga Jun

Abdul Rahim berkata, bagi memastikan Perak tidak dibanjiri dengan PATI, JIM negeri ini berusaha sepenuhnya melaksanakan Program Repatriasi Migran (PRM) 2024 yang diperkenalkan sejak 1 Mac lalu.

Beliau berkata, PRM yang dibuka sehingga 31 Disember tahun ini bertujuan memberi peluang kepada PATI untuk pulang secara sukarela ke negara masing-masing dengan memberi pengecualian pendakwaan dan membenarkan penawaran kompaun kepada mereka.

“Untuk makluman mereka semua ini masuk secara sah namun sampai satu peringkat bila permit sudah tamat dan tidak dilanjutkan mereka memilih untuk tinggal dan menjadi PATI.

Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik (kiri) bertegur sapa dengan warga asing pada Program Repatriasi Migran (PRM) di Kompleks KDN, Meru, hari ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Jadi melalui PRM ini kita menawarkan kepada mereka pilihan untuk dihantar pulang secara sukarela dengan kompaun atau ditangkap, didakwa di mahkamah dan didenda yang mana prosesnya lama,” kata beliau.

Jelas Abdul Rahim sejak diperkenalkan bermula 1 Mac tahun ini sehingga Jun lalu seramai 3,203 PATI telah menyertai PRM di Perak dan daripada jumlah itu 186 merupakan kanak-kanak.

“Setakat JUN 2024 jumlah pati yang sertai PRM adalah seramai 3,203 orang di mana lelaki 2,200, perempuan 817, kanak-kanak lelaki 89 dan kanak-kanak perempuan 97 orang.

“Pecahan mengikut warganegara pula Indonesia mencatatkan penyertaan tertinggi iaitu 1,999 orang dikuti India (310), Bangladesh (250), Nepal (236), Pakistan (201), Myanmar (113), Sri Lanka (57), Vietnam (10), Kemboja (8) dan China (7).

“Selain itu, Loas dan Serbia masing-masin tiga orang PATI diikuti Filipina (2) dan Somalia, Nigeria, Singapura serta Thailand masing-masing seorang,” katanya.

Ikuti PRM daripada ditangkap, didakwa dan dipenjara

Abdul Rahim turut menasihati PATI agar membuat pilihan wajar dengan mengikuti PRM yang akan berakhir hujung tahun ini berbanding ditangkap pihak imigresen melalui operasi yang dijalankan.

Ini kerana beliau berkata, sekiranya ditahan semasa operasi semua PATI akan berhadapan dengan proses perundangan dan pendakwaan yang memakan masa lama.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak (Kawalan), Abdul Rahim Chung beramah mesra bersama kakitangan Imigresen ketika tinjauan MG Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Bandar Meru Raya, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Jadi semua yang telah berada dalam kedudukan PATI sertailah program yang dianjur kerajaan dengan tujuan baik bagi kebaikan diri anda sendiri.

“Sekiranya ada kalangan anda tidak mengambil peluang yang ada JIM Perak juga ke arah menjalankan penguatkuasaan yang kerap buat masa ini,” katanya.

Tambah beliau, JIM Perak akan pergi ke mana-mana lokasi daripada aduan awam mengatakan terdapat pati dan pihaknya akan mengadakan operasi bagi menahan kesemua mereka.

“Lebih baik anda sertai PRM daripada ditangkap kerana kalua ditangkap akan lalui proses undang-undang dengan didakwa di mahkamah dan dipenjara di mana hukumanya lebih berat dari PRM.

“Sekali lagi saya galakkan PATI di Perak sertailah, ambil peluang dengan apa yang ditawarkan kerajaan melalui PRM ini,” katanya. -MG Perak

VIDEO:

MGPerak: Imigresen Perak Perhebat PRM Hantar PATI Pulang

MGPerak: Imigresen Perak Perhebat PRM Hantar PATI Pulang

Artikel Berkaitan: 

MGPerak: Program Repatriasi Migran: 350 PATI Berdaftar Di Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI