IPOH – Seramai 24 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak, dalam pemeriksaan di lapan buah premis perniagaan sekitar bandar ini pada Isnin.
Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, kesemua warga asing berkenaan ditahan dalam operasi penguatkuasaan oleh Unit Aduan, Risikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Perak bermula jam 2.30 hingga 7.30 petang.
Menurut beliau, serbuan dibuat berdasarkan aduan dan hasil risikan serta pemantauan yang telah dijalankan.
“Dengan kekuatan seramai 12 orang pegawai, seramai 38 orang warga Malaysia dan pelbagai warga asing diperiksa.
“Hasil pemeriksaan, seramai 24 orang warga asing telah ditahan kerana mendapati dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, warga asing yang ditahan terdiri daripada dua puluh empat lelaki berusia lingkungan 19 hingga 46 tahun.
“Mereka terdiri daripada, empat warga Pakistan, sembilan warga Bangladesh, empat warga India, lima warga Yaman serta seorang warga Mesir dan Indonesia,” katanya.
Meor Hezbullah berkata, kesemua 24 orang warga asing berkenaan ditahan di Depot Tahanan Imigresen Ipoh di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.
Jelas beliau, mereka akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa permit yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama iaitu telah tinggal /berada di Negara Malaysia selepas tempoh sah permit yang dikeluarkan tamat dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang telah dikeluarkan.
“Selanjutnya, pihak Imigresen juga telah meminta pelanggan serta saksi di tempat kejadian untuk hadir ke Pejabat Imigresen Ipoh bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan terhadap pemilik premis dan majikan yang bertanggungjawab mengambil warga asing bekerja juga akan diteruskan di bawah Seksyen 55(B) atau Seksyen 55(E) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
JIM Negeri Perak berharap masyarakat dapat membuat laporan atau aduan bagi bersama membantu JIM dalam usaha membanteras lambakan kehadiran PATI dalam negara ini. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Imigresen Perak tahan 38 warga asing hasil serbuan 22 lokasi