IPOH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) di beberapa lokasi berasingan, dekat sini pada awal pagi Selasa.
Pengarah JIM Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, ia susulan operasi Ops Belanja, Ops Dandan, Ops Selera Minyak, Ops Mahir dan Ops Sapu yang dijalankan bermula jam 11 pagi Isnin sehingga 2.30 pagi keesokan harinya.
Katanya, kesemua mereka terdiri daripada lelaki iaitu empat warga Bangladesh; warga India (lapan); warga Pakistan (seorang); warga Myanmar (11) serta tiga lelaki warga Indonesia.
Tambah beliau, PATI yang ditahan juga membabitkan wanita masing-masing tiga orang warga Myanmar dan Indonesia.
“Serbuan dibuat berdasarkan aduan dan hasil pemantauan serta risikan yang telah dijalankan oleh Unit Risikan dan Operasi JIM di lokasi.
“Dengan kekuatan anggota seramai 18 orang Pegawai Imigresen, pemeriksaan telah dijalankan ke atas 101 orang warga negara asing,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Menurut Meor Hezbullah, serbuan dilakukan di premis antaranya kilang, kedai gunting rambut, pasar raya mini, premis makanan, rumah kedai, pusat cucian kenderaan serta rumah kediaman.
Jelas beliau, kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Ipoh, Perak bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut proses undang-undang.
“Mereka dipercayai melakukan kesalahan iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah, berada di negara ini selepas tamat tempoh pas serta melanggar syarat pas yang dikeluarkan.
“Justeru, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama serta Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan: