IPOH – Impian dan visi Grandmaster Dr V. Rajan, 50, cukup jelas, iaitu mahu melahirkan lebih ramai jurulatih taekwondo, bukan sahaja untuk Negeri Perak, malah demi merancakkan lagi pembangunan sukan tersebut di seluruh Malaysia.
Mengambil pendekatan serampang dua mata, jurulatih berpengalaman itu berkata, inisiatif berkenaan turut menyasarkan penambahan bilangan atlet tempatan pada masa akan datang.
Dr Rajan yang juga Presiden Kelab Taekwondo Aelma Malaysia berkata, setakat ini, kelab berkenaan mempunyai lebih 5,000 pelajar di bawah bimbingan 22 jurulatih di tujuh negeri termasuk Perak.
Katanya, beliau yang telah berkecimpung dalam arena taekwondo lebih 40 tahun telah mengendalikan 10 pusat latihan di sekitar Ipoh, melibatkan kira-kira 500 pelajar berusia antara tujuh hingga 15 tahun.
“Visi saya adalah untuk melahirkan sekurang-kurangnya 100 jurulatih taekwondo kerana ketika ini, sukan ini kekurangan jurulatih bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
“Apabila lebih ramai jurulatih dapat dilahirkan, saya yakin ia akan memberi impak positif terhadap pembangunan sukan ini, bukan sahaja untuk negeri Perak, bahkan untuk negara,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.
Bekas atlet kebangsaan itu berkata, kelab bimbingannya juga aktif mencungkil dan membangunkan bakat baharu sehingga berjaya melahirkan atlet yang terpilih mewakili negeri ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA).
“Setiap kali SUKMA, pasti akan ada wakil daripada kelab ini. Setakat ini, kira-kira 12 atlet kami pernah terlibat dalam temasya tersebut.
“Lazimnya, selepas berjaya di SUKMA, mereka akan diserap ke peringkat saringan untuk menjadi atlet kebangsaan,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, pada 19 hingga 20 Julai lalu, seramai lapan atlet dari Persatuan Taekwondo Negeri Perak yang bernaung di bawah Kelab Taekwondo Aelma telah menyertai Tirak International Taekwondo Championship 2025 di Thailand.
Kejohanan itu menghimpunkan kira-kira 2,100 peserta dari sembilan negara termasuk Thailand, Rusia, Indonesia, India, Filipina dan lain-lain.
Daripada jumlah tersebut, empat atlet Perak membawa pulang pingat emas, enam perak dan lapan gangsa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Al-Ikhsan penaja utama Perak FA