Impian peniaga miliki kereta idaman musnah, rugi hampir RM150,000

GERIK – Impian seorang peniaga memiliki kereta idaman musnah apabila kerugian RM147,600 selepas menjadi mangsa penipuan jualan kereta tidak wujud di Facebook, di sini, sekitar April hingga Julai lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa berusia 53 tahun berhubung kejadian itu pada 6 Ogos lalu.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati pada 15 April lalu, mangsa telah melihat iklan jualan kereta jenis Mercedes-Benz GLA 200 AMG Sport 4Matic 1.3a melalui Facebook dan menekan pautan Whatsapp yang tertera media sosial tersebut.

“Selepas tertarik dengan iklan tersebut, mangsa telah berhubung dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai jurujual di sebuah syarikat jualan kereta di Selangor.

“Suspek terbabit menawarkan harga jualan kereta tersebut sebanyak RM113,000 dengan ansuran bulanan sebanyak RM 1,328.80 selain berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah sebuah iPad.

“Mangsa yang terpengaruh dengan tawaran itu membuat pembayaran wang pendaftaran sebanyak RM2,680 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek dan dijanjikan penghantaran kereta tersebut kepada mangsa pada 19 April,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, selepas membayar wang pendaftaran, mangsa telah membuat 32 transaksi bayaran ke dalam sembilan akaun bank yang diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM144,920 bermula 17 April hingga 25 Julai tahun ini.

“Pembayaran itu adalah untuk pelbagai tujuan iaitu insurans, cukai jalan, permit dan duti import, pengaktifan akaun, surat perjanjian jual beli dan duti setem.

“Namun suspek masih meminta mangsa membuat bayaran seterusnya berjumlah RM20,000 bagi bayaran perjanjian jual beli yang tamat tempoh dan duti setem.

“Bagaimanapun mangsa mula curiga dan merasakan proses pembelian terlalu rumit dan sukar. Mangsa kemudiannya membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Azizi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah pencegahan sebelum membuat pembelian dan jangan mudah percaya dengan iklan jualan yang menawarkan harga murah atau istimewa yang tidak dapat dipastikan kesahihan.

“Selain itu, orang ramai juga boleh hadir secara fizikal ke syarikat jualan kenderaan untuk melihat sendiri kenderaan yang dijual serta berbincang dengan ejen jualan yang sah.

“Pembeli juga boleh membuat semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon terlebih dahulu di portal semakmule untuk mengenalpasti akaun yang terbabit dengan penipuan,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Jurujual ditipu RM904,000 angkara pelaburan saham

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI