Indeks keselamatan awam merosot – KPN

KUALA LUMPUR – Indeks Keselamatan Awam iaitu salah satu komponen dalam subkomposit sosial didapati merosot 1.7 mata kepada 127.6 mata pada 2023 berbanding 129.3 mata pada 2022.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penurunan tersebut disebabkan oleh peningkatan bilangan kemalangan jalan raya dan kenaikan kadar jenayah.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertekad melipatgandakan usaha meningkatkan keberkesanan penugasan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat sekali gus memastikan keselamatan negara berada pada tahap yang optimum.

Jelas beliau, barisan kepimpinan pelbagai peringkat PDRM juga perlu sentiasa cakna dan memberi perhatian kepada pelaksanaan penguatkuasaan dan pengumpulan maklumat risikan untuk meningkatkan keberkesanan penugasan.

“Dalam masa yang sama, aspek keperluan logistik meliputi kemudahan prasarana latihan dan markas operasi, menaik taraf dan perolehan aset-aset baharu juga perlu dilaksanakan demi keberhasilan operasi dan kesiapsiagaan setiap elemen PDRM,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Bulan Disember 2024 anjuran Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam di Bukit Aman hari ini.

Sementara itu, Razarudin turut merakam penghargaan kepada kerajaan atas komitmen berterusan memperkasa dan memperkukuhkan kawalan keselamatan di sempadan negara.

Ia jelas beliau, menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) meliputi penggunaan dron, kamera litar tertutup, Thermal Radar dan Thermal Imager Surveillance.

Dalam masa sama, beliau mengulangi penegasan supaya seluruh pasukan PDRM memperkasa dan memperkukuhkan integriti dan tata kelola baik bagi mendepani tahun 2025 sejajar mandat MADANI oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apatah lagi, katanya, Malaysia pada 1 Januari tahun depan secara rasmi menjadi Pengerusi ASEAN yang akan menerajui PDRM dalam memperkukuhkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

“Selaras dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, saya yakin pelbagai agenda akan dilaksanakan untuk mengukuhkan kepusatan ASEAN, membina kepercayaan strategik dalam kalangan negara anggota dan mempromosikan perdagangan serta pelaburan intra-ASEAN.

“Ini sekali gus akan meningkatkan kapasiti penugasan seluruh agensi kerajaan khususnya PDRM dalam mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh program berlangsung,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI