Industri motosikal EV berpotensi berkembang pesat

IPOH – Industri motosikal elektrik (EV) di Malaysia kini berada dalam fasa pertumbuhan awal namun menunjukkan potensi besar untuk berkembang pesat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Peningkatan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dan perubahan gaya hidup pengguna menjadi faktor utama yang bakal memacu permintaan terhadap kenderaan mesra alam tersebut di pasaran tempatan.

Ketua Cawangan GGR (GGR Motor Group) X EV Ipoh, Mohamed Izwan Abdul Karim berkata, perkembangan positif itu turut didorong oleh kelebihan teknologi EV yang menawarkan penjimatan kos penyelenggaraan yang ketara bagi kegunaan harian.

Ketua Cawangan GGR X EV Ipoh, Mohamed Izwan Abdul Karim ketika sidang media Majlis Pelancaran GGR X EV Ipoh di Medan Bercham Bistari, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 APRIL 2026.

Dengan ketidaktentuan landskap ekonomi global serta tekanan kos bahan api, Mohamed Izwan berkata, kenderaan dua roda EV menjadi pilihan alternatif pengguna terutama bagi penggunaan jarak perjalanan yang berhampiran dengan kawasan kediaman.

“Bagi motosikal EV, penyelenggaraannya sangat menjimatkan kerana pengguna hanya perlu memberi tumpuan kepada penukaran pelapik brek dan tayar sahaja tanpa melibatkan pengunaan bahan api.

“Motosikal ini sangat sesuai untuk kegunaan di sekitar kawasan perumahan atau bagi perjalanan jarak dekat kerana ia hanya perlu dicas menggunakan palam elektrik domestik di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Cawangan GGR X EV Ipoh di Medan Bercham Bistari, di sini pada Ahad.

GGR merupakan syarikat pengeluar motosikal EV tempatan dan telah membangunkan kilang pemasangan motosikal EV secara komersial di Sungai Penchala di Kuala Lumpur.

Ketua Cawangan GGR X EV Ipoh, Mohamed Izwan Abdul Karim ketika sesi bergambar pada Majlis Pelancaran GGR X EV Ipoh di Medan Bercham Bistari, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 APRIL 2026.

Mengulas berkenaan pembukaan cawangan di luar Lembah Klang, Mohamed Izwan berkata, lokasi Ipoh dipilih oleh syarikatnya kerana kedudukannya yang strategik sebagai hab penghubung utama antara wilayah utara dan selatan di Semenanjung.

Jelas beliau, pihaknya menyasarkan jualan antara 50 hingga 80 unit sebulan bagi model sulung mereka, Lion G1, khusus untuk pasaran penduduk di sekitar bandar raya ini.

“Sasaran kita adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya setiap rumah di Ipoh memiliki sebuah motosikal EV.

“Dan setakat ini sambutan amat memberangsangkan kerana faktor lokasi di sini yang memudahkan pelanggan baik dari negeri di utara atau selatan untuk datang mendapatkan kenderaan ini,” katanya.

industri motosikal EV Malaysia motosikal elektrik Malaysia, industri EV Malaysia, motosikal EV Ipoh, GGR Motor Malaysia, kenderaan elektrik dua roda, pasaran EV Asia Tenggara, teknologi EV Malaysia, motosikal mesra alam
Suasana sekitar Majlis Pelancaran GGR X EV Ipoh di Medan Bercham Bistari, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 APRIL 2026.

Mohamed Izwan berkata, pihaknya optimis bahawa model Lion G1 mampu mendapat sambutan baik di Ipoh berdasarkan trend semasa serta kelebihan produk tersebut terutama dari segi penjimatan kos penyelenggaraan.

“Kita yakin penerimaan terhadap Lion G1 di Ipoh akan positif. Dengan harga yang kompetitif dan kos penggunaan yang rendah, motosikal ini sesuai untuk pelbagai golongan termasuk pekerja, peniaga kecil dan pengguna harian,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan GGR, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi dalam satu kenyataan berkata, model Lion G1 telah mencatatkan tempahan mencecah 8,000 unit sejak dilancarkan pada Jun tahun lalu.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,000 unit telah berjaya dihantar kepada pelanggan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Muhammad Musaddiq berkata, GGR kini sedang dalam perancangan untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan sasaran eksport motosikal EV ke Thailand, Filipina dan Laos dalam masa terdekat.

“Pasaran Asia Tenggara menunjukkan potensi besar, khususnya di negara seperti Thailand yang lebih awal menerima teknologi EV. Ini memberi peluang kepada GGR untuk berkembang di peringkat serantau,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

PM Lancar Kilang Kenderaan Elektrik (EV) Proton

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI