IPOH – Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee mencadangkan supaya satu tabung dana pelaburan semula (reinvestment) diwujudkan khusus untuk pemain industri pelancongan bagi memastikan produk pelancongan di negeri ini kekal relevan dan berdaya saing.
Menurutnya, kebanyakan syarikat pelancongan di Perak masih belum menyediakan tabung bagi tujuan pelaburan semula, menyebabkan banyak produk pelancongan berdepan kemerosotan kualiti selepas beberapa tahun beroperasi.
“Apabila syarikat tidak mempunyai dana pelaburan semula, banyak keperluan penting seperti penyelenggaraan van pelancong, naik taraf lokasi, pembaikan bangunan, kemas kini perisian pejabat serta penambahan data dan maklumat baharu untuk pemandu pelancong tidak dapat dilaksanakan.
“Walaupun kerajaan negeri dan Persekutuan sentiasa berusaha membantu, hakikatnya syarikat swasta perlu mempunyai tabung pelaburan sendiri untuk memastikan kelangsungan dan peningkatan mutu produk mereka,” katanya.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Shahrin Mokhtar.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Sesi Libat Urus Tourism Malaysia Bersama Penggiat Industri Pelancongan Perak di AC Hotel By Marriott di sini pada Selasa.
Mengambil contoh kawasan pelancongan popular di Ipoh, Loh berkata, selepas hampir 10 tahun beroperasi, kawasan tersebut kini kurang dikunjungi penduduk tempatan akibat masalah kesesakan lalu lintas yang teruk, terutamanya pada hujung minggu.
“Data menunjukkan jumlah pelancong ke Perak meningkat, namun terdapat kawasan tertentu yang mencatatkan penurunan.
“Ini membuktikan bahawa pelancong sentiasa mencari destinasi baru seperti Tasik Cermin yang kerana mereka sentiasa menginginkan pengalaman yang segar dan berbeza setiap tahun,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan keperluan untuk menjadikan Perak sebagai pemain industri pelancongan yang profesional.
“Ketika ini, Perak berada dalam kedudukan tiga teratas destinasi pelancongan negara namun untuk menjadi lebih profesional, kita perlu memastikan kehadiran pelancong stabil sepanjang minggu, bukan hanya pada hujung minggu,” katanya.
Sementara itu, beliau menambah, untuk mencapai tahap profesionalisme itu, industri pelancongan negeri perlu dilengkapi dengan dana yang mencukupi bagi membolehkan pemilik produk sentiasa melakukan pelaburan semula dan menaik taraf kemudahan mereka.
“Kita mesti kekalkan kualiti produk pelancongan agar terus bersaing dengan negeri-negeri lain. Jika tempat pelancongan uzur, pelawat akan beralih ke lokasi lain,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tourism Malaysia sasar pulangan hasil pelancongan sebanyak RM270 bilion