Industri tenusu di Perak berpotensi sumbang keterjaminan makanan negara

LARUT – Industri tenusu di Perak berpotensi besar dalam menyumbang kepada keterjaminan makanan negara selari dengan matlamat nasional dalam pengeluaran makanan segara.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, walaupun negeri ini sedang giat membangunkan sektor industri di segenap daerah, namun Kerajaan Perak tidak pernah meminggirkan sektor sekuriti makanan.

Beliau berkata, malah, ia menjadi salah satu agenda terpenting negeri di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, dan diletakkan sebagai flagship pertama dengan sasaran memastikan bekalan makanan yang stabil, mencukupi, dan berkualiti untuk rakyat.

“Dalam kerangka keterjaminan makanan ini, sektor tenusu merupakan komponen penting yang bukan sahaja membekalkan sumber protein berkualiti tinggi, malah mempunyai rantaian nilai yang luas daripada pengeluaran di ladang, pemprosesan, hinggalah ke pasaran pengguna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan susu kepada anak lembu pada Karnival Usahawan Tenusu MADANI “Memacu Revolusi Pertanian Moden, Menjana Ekonomi Rakyat” di Kompleks Tenusu Farm Fresh Perak, Larut. Foto ABDULLAH YUSOF, 16 OGOS 2025

“Perak melihat potensi besar industri ini untuk berkembang, sekali gus menyumbang kepada matlamat nasional dalam pengeluaran makanan segar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Usahawan Tenusu MADANI “Memacu Revolusi Pertanian Moden, Menjana Ekonomi Rakyat” di Kompleks Tenusu Farm Fresh Perak, Pondok Tanjung Selama, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Saarani berkata, Dasar Agro Makanan Negara (DAN) 2.0 telah menetapkan sasaran jelas untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) bagi susu segar kepada 100 peratus menjelang 2030.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri Perak menyokong sasaran berkenaan dengan mengambil pendekatan pelaksanaan yang tuntas di lapangan.

Industri tenusu di Perak berpotensi sumbang keterjaminan makanan negara
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Karnival Usahawan Tenusu MADANI “Memacu Revolusi Pertanian Moden, Menjana Ekonomi Rakyat” di Kompleks Tenusu Farm Fresh Perak, Larut. Foto ABDULLAH YUSOF, 16 OGOS 2025

“Industri tenusu Malaysia masih bergantung kepada import, terutamanya bagi keju, mentega, dan produk tenusu premium.

“Walaupun pengeluaran susu segar negara meningkat, SSL keseluruhan masih di bawah 65 peratus. Keadaan ini menuntut langkah bersepadu di peringkat negeri untuk meningkatkan pengeluaran domestik secara mampan,” katanya.

Beliau berkata, Kompleks Tenusu Farm Fresh Pondok Tanjung membuktikan bahawa apabila dasar nasional diperkukuh dengan pelaksanaan negeri yang cekap, berasaskan teknologi dan disokong oleh bakat tempatan, hasilnya adalah peningkatan keterjaminan makanan, pengukuhan rantaian nilai industri, dan limpahan ekonomi yang nyata kepada rakyat.

“Dengan iltizam yang jelas, insya-Allah, Perak akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan makanan negara terjamin, industri tenusu terus berkembang, dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan,” katanya.

Untuk rekod, Kompleks Tenusu Farm Fresh di Perak kini merupakan antara fasiliti tenusu paling moden di Asia Tenggara dengan kapasiti pengeluaran 33,000 liter susu sehari. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI