Inovasi kuih tradisional, ‘denderam kopi‘ produk terbaharu Dodol Warisan Cikgu Anjang

KUIH tradisional denderam kini diberi nafas baharu apabila Dodol Warisan Cikgu Anjang memperkenalkan produk terbaharunya iaitu denderam kopi, hasil inovasi dan olahan resipi sendiri oleh pengusahanya, Muhammad Khairudin Md Azmi.

Menurut Khairudin, 39, idea menghasilkan denderam berperisa kopi itu tercetus selepas dia melihat potensi besar dalam pasaran produk berasaskan dodol yang telah diusahakan sebelum ini.

“Jenama Dodol Warisan Cikgu Anjang ini asalnya dimulakan oleh Cikgu Anjang (bapa mentua) yang menghasilkan dodol menggunakan resepinya sendiri.

Inovasi kuih tradisional, ‘denderam kopi‘ produk terbaharu Dodol Warisan Cikgu Anjang
Kuih denderam kopi keluaran terbaharu Dodol Warisan Cikgu Anjang yang dihasilkan menggunakan olahan resipi tradisional ketika tinjauan MG Perak di Dataran Warisan Taiping. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 OKTOBER 2025.

“Selepas lebih dua tahun, saya lihat peluang untuk mengembangkan jenama Cikgu Anjang dengan mengeluarkan dodol gula melaka dan original (tradisional).

“Kemudian kita mula memperkenalkan pelbagai variasi dodol seperti dodol pandan, kopi dan strawberi,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Dataran Warisan Taiping, baru-baru ini.

Mula cipta denderam kopi

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, daripada situ, dia melihat bahan yang digunakan dalam dodol kopi lebih kurang sama dengan penghasilan denderam.

Inovasi kuih tradisional, ‘denderam kopi‘ produk terbaharu Dodol Warisan Cikgu Anjang
Pengusaha Dodol Warisan Cikgu Anjang, Muhammad Khairudin Md Azmi ketika temubual bersama MG Perak di Dataran Warisan Taiping. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 OKTOBER 2025.

“Jadi kita ambil resepi daripada dodol dan olah sedikit untuk dijadikan denderam kopi iaitu produk terbaharu kita,” jelasnya.

Katanya, denderam kopi mula diperkenalkan selepas hampir sebulan menyimpan dan menguji resipi tersebut sebelum dilancarkan secara rasmi pada Karnival Kopi Perak:Cherita  Secangkir Kopi 2025 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad baru-baru ini.

Dalam pada itu, dia menerima banyak maklum balas positif daripada pelanggan dan mereka menyifatkan denderam kopi sebagai satu inovasi baharu dalam pasaran kuih tradisional.

Inovasi kuih tradisional, ‘denderam kopi‘ produk terbaharu Dodol Warisan Cikgu Anjang
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyantuni peniaga ketika melawat gerai-gerai pada Majlis Perasmian Karnival Kopi Perak ‘Cherita Secangkir Kopi’ Tahun 2025 di Dataran Warisan Taiping, baru-baru ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Alhamdulillah, orang ramai yang singgah ke sini suka selepas mencubanya dan mereka terus membeli produk ini,” ujarnya yang memaklumkan produk denderam kopi itu adalah yang pertama di Perak.

Khairudin berkata, selain di Taiping, produk keluaran Dodol Warisan Cikgu Anjang kini boleh didapati di beberapa stesen minyak Petronas di Kedah, Gunung Semanggol, kawasan Rehat dan Rawat Sungai Bakap, Bangi dan Damansara di Selangor serta di platform TikTok.

Dia turut berkongsi bahawa produk mereka mampu bertahan sehingga enam bulan, malah telah dieksport secara kecil-kecilan ke Brunei dan Singapura dengan menerima maklum balas baik daripada pelanggan di sana.

Inovasi kuih tradisional, ‘denderam kopi‘ produk terbaharu Dodol Warisan Cikgu Anjang
Pekerja Dodol Warisan Cikgu Anjang tekun membentuk adunan denderam kopi sebelum digoreng untuk dijual kepada pelanggan ketika tinjauan MG Perak di Dataran Warisan Taiping. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 OKTOBER 2025.

SteP beri bantuan GeRak

Sementara itu, Khairudin memaklumkan dia telah menerima pelbagai bentuk sokongan daripada agensi kerajaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional; Jabatan Pertanian, Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp Malaysia); Giat MARA; Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).

“STeP antara yang banyak memberikan bantuan kepada kita. Mereka pernah memberikan bantuan Geran Usahawan Perak Sejahtera (GeRAK) sebanyak RM2,000 juga bantuan untuk masuk ke program-program yang turut membantu untuk mempromosikan produk.

“Di bawah STeP, kita pernah menyertai MATTA Fair (Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia) dua tahun lalu serta beberapa program promosi lain,” katanya.

Inovasi kuih tradisional, ‘denderam kopi‘ produk terbaharu Dodol Warisan Cikgu Anjang
Pengunjung tidak melepaskan peluang merasai kuih denderam kopi hasil olahan resipi istimewa Dodol Warisan Cikgu Anjang ketika tinjauan MG Perak di Dataran Warisan Taiping. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 OKTOBER 2025.

Tambahnya, selepas pandemik COVID-19, perniagaannya kembali aktif dengan fokus kepada produk dodol dan denderam yang kini beroperasi di Kampung Jambu, Taiping.

“Sewaktu PKP (perintah kawalan pergerakan) saya keluarkan produk dodol dengan bantuan-bantuan mesin daripada Giat MARA dan selepas PKP, diteruskan dengan pengeluaran dendera,,” ujarnya.

Sehubungan itu, Khairudin berharap produk keluaran Dodol Warisan Cikgu Anjang akan terus berkembang dan berjaya menembusi pasaran antarabangsa suatu hari nanti.

STeP antara agensi pelaksana kepada agenda ‘1 Keluarga 1 Usahawan’ di bawah ‘flagship’ Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat seperti dicatatkan menerusi pelan pembangunan negeri, Perak Sejahtera 2030 cetusan Saarani. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Zachrin Jaafars: Busana tempatan berjiwa Perak diangkat ke pentas global

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI