Insiden kepala air Slim River: Perak mohon ihsan kerajaan bina tiga jambatan

IPOH – Kerajaan negeri Perak akan memohon ihsan daripada kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan peruntukan membina semula tiga jambatan yang runtuh akibat insiden kepala air di Slim River, dekat sini, baru-baru ini.

Tiga jambatan tersebut adalah jambatan utama melibatkan Jambatan Lama Sungai Slim yang menghubungkan Jalan Slim River-Behrang Hulu, Jambatan Kampung Pasir dan Jambatan Kampung Sungai Muda.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerosakan akibat tragedi tersebut telah dilaporkan Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri yang diadakan hari ini.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan peruntukan sekurang-kurangnya RM40 juta bagi menggantikan jambatan utama namun nilai sebenar untuk pembinaan dua lagi jambatan runtuh yang menghubungkan kampung berhampiran belum diperoleh.

“Jadi kita putuskan kesemua peruntukan untuk membaik pulih itu kita mohon ihsan daripada kerajaan persekutuan.

“Kita akan tulis surat kepada mereka (kerajaan Persekutuan) supaya ia dapat dibaiki dengan segera sebab ia telah menyebabkan berlakunya terputus hubungan di antara penduduk kampung khususnya bagi jambatan utama.

“Itu disebabkan pelajar-pelajar perlu ke sekolah dan mereka memerlukan jambatan itu sebagai penghubung. Walau bagaimanapun JKR (Jabatan Kerja Raya) akan membina terlebih dahulu Bailey brigde (jambatan Bailey),“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Saarani berkata, berkaitan kos kerosakan melibatkan Loji Rawatan Air Sungai Geliting di Ulu Slim kerajaan negeri masih belum mendapat angka sebenar dari Lembaga Air Perak (LAP).

“LAP sedang buat kajian dan mereka akan kemukakan kepada board (Ahli Lembaga Pengarah) untuk mendapat keputusan bagi membenarkan mereka berbelanja untuk membaik pulih LRA,“ ujarnya.

Menyentuh mengenai perkembangan terkini pembinaan jambatan Bailey, beliau berkata, JKR memaklumkan bahawa kerja-kerja pembersihan telah selesai dan sekarang dalam proses membina pelantar.

“Dah selesai bab itu baru boleh membinanya. Sudah tentu sebelum itu dia kena bersihkan dahulu semua sampah sarap dan kayu-kayu yang terlekat tu. Proses pembersihan tapak mengambil sedikit masa.

“Dia perlukan masa sebab hari itu kita katakan perlu melihat kesesuaian bagi kedua-dua tebing yang berkenaan, yang kedua status tanah itu sama ada tanah itu adalah tanah kerajaan atau tanah rizab JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) atau tanah individu,“ jelasnya.

Dalam kejadian 23 Ogos lalu, media melaporkan 175 mangsa terperangkap dalam kejadian kepala air dan di Slim Village, Slim River dekat sini pada lewat petang.

Kejadian itu turut mengakibatkan tiga jambatan runtuh dan terputus laluan iaitu termasuk jambatan sepanjang 77 meter itu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Aktiviti pertanian mungkin penyebab kepala air di Slim River

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI