Insiden lubang pembetung di Lenggong: Mangsa maut akibat kurang oksigen – Polis

TAPAH – Polis mengesahkan tiga lelaki yang ditemukan maut dalam lubang pembetungan di Kampung Ibol, Sumpitan dekat Lenggong disebabkan terdedah kepada persekitaran kekurangan oksigen dalam ruang pembetung terkurung.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pemeriksaan oleh anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) tidak menemukan sebarang gas toksik atau beracun di lokasi kejadian.

Noor Hisam berkata, siasatan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kematian ketiga-tiga mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Tiada gas-gas toksik beracun dan dia (mangsa) lemas kerana tiada pengudaraan dan oksigen, jadi bila masuk empat orang itu mungkin dah tak ada udara. Itu yang menyebabkan mereka lemas.

“Bagi perkembangan hari ini, kita pun menjalankan siasatan dengan memanggil pihak DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) datang periksa semua (di lokasi kejadian), selain melihat status pemilik resort itu (masih dalam siasatan),” katanya ketika ditemui pada Program Rintis Komuniti Rakyat MADANI: Majlis Aidilfitri Perpaduan pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti Datuk Ismail Yusop.

Dalam kejadian 10.08 pagi Ahad lepas, tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia maut dalam lubang pembetung ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan di tapak pembinaan sebuah resort baharu di Kampung Ibol, Sumpitan dekat Lenggong.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, dua lelaki tempatan berusia 29 dan 37 tahun disahkan maut di lokasi kejadian, manakala lelaki warga Indonesia meninggal dunia di Hospital Gerik.

Selain itu, seorang mangsa lagi yang juga lelaki warga Indonesia berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Taiping. -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI