“JANGAN patah semangat, sentiasa serius dan berdisiplin serta tetapkan sasaran dalam setiap perkara yang dilakukan. Kalau patah semangat buat apa pun tidak menjadi”.
Itulah kata-kata pemilik Perniagaan Ri Edar, Muhammad Narawi Md Isa, 49, seorang usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) yang menjalankan perniagaan barangan dapur serta pengedar utama jenama kopi terkenal Kopi Che Nah di daerah Kinta.
Mewarisi perniagaan yang diusahakan arwah bapanya sejak 40 tahun lalu, Muhammad Narawi turut dibantu adik lelakinya, Mohd Narazi Md Isa, 46, dan abang sepupunya, Anuar Md Jaya, 62.
Anak sulung daripada enam adik beradik ini mula mengambil alih perniagaan tersebut selepas bapanya meninggal dunia sekitar tiga tahun lalu.
Menurutnya, sebelum ini, dia menjalani kehidupan normal seperti orang lain namun kemalangan yang dialaminya ketika sedang bekerja mengubah kehidupannya 360 darjah.
“Saya mula mengambil alih perniagaan ini selepas pemergian bapa dan sumber utama jualan kami adalah Kopi Che Nah.
“Di samping itu, kami turut menjual produk keluaran Muslim antaranya mi sanggul, kuah rojak, otak udang, laksa dan bihun yang dijual secara borong dan boleh juga dibeli secara runcit.
“Antara jenama terkenal lain yang boleh didapati di kedai kami termasuklah serbuk kari Cap O dari Kedah, bihun Sufi dari Johor, keropok lekor dari Terengganu dan belacan bakar dari Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui MG Perak.
Insiden tulang belakang ‘meletup’
Menurutnya, dia memang membantu arwah bapanya menguruskan perniagaan tersebut sebelum berlaku insiden kemalangan sewaktu bekerja kira-kira 15 tahun lalu.
“Dalam kejadian itu, saya sedang mengangkat muatan barangan antara 50 ke 60 kilogram untuk dibawa turun dari lori tiga tan dan tulang belakang saya tiba-tiba ‘meletup’.
“Lama-kelamaan keadaan saya bertambah teruk sehingga tulang belakang menjadi bentuk C. Saya kemudiannya mendapatkan rawatan laser di sebuah Hospital Pantai, di sini.
“Seminggu selepas mendapat rawatan laser, saya sangkakan keadaan hampir pulih namun menjadi serius kerana tulang belakang saya terasa terhimpit sehingga perlu menjalani pembedahan.
“Kalau saya tidak melakukan pembedahan, saya berisiko untuk lumpuh. Jadi, saya menjalani pembedahan sebanyak dua kali kira-kira lima tahun lalu sebelum pandemik Covid-19,” katanya.
Akibat insiden itu, fizikal Muhammad Narawi tidak dapat bergerak seperti orang normal disebabkan masalah kesihatan yang menimpa tulang belakang L1, L2 dan L3.
“Jadi, saya membuat keputusan untuk memohon kad OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan permohonan diluluskan pada tahun 2022.
“Bagaimanapun, saya tidak meminta bantuan lain daripada JKM kerana saya ada perniagaan sendiri dan berharap bantuan itu diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan,” ujarnya.
Pernah dihina namun tidak pernah patah semangat
Katanya, memegang gelaran OKU pelbagai tanggapan positif dan negatif dilemparkan kepadanya sepanjang menguruskan perniagaan tersebut.
“Keadaan ekonomi sekarang tidak seperti dahulu. Apa yang penting, semangat kena kuat dan padu. Walaupun sakit, saya tahan dan bergantung kepada ubat.
“Kalau dari sudut pelanggan, ada juga yang memandang sinis dan tidak mahu berurusan dengan golongan OKU seperti saya, tapi saya ada bantuan daripada adik lelaki dan abang sepupu.
“Cuma kadang-kadang sedih juga ada yang menghina, lagi pun kita tak minta mereka makan,” jelasnya.
Setiap perniagaan pasti ada turun, naik
Muhammad Narawi berkata, setiap perniagaan pasti ada jatuh bangunnya dan itu adalah perkara biasa.
“Biasalah dalam perniagaan ada turun naik. Bukan saya saja terjejas tetapi peniaga di sekitar Pekan Lama yang berniaga turut merasai perkara sama.
“Dulu saya tempah barang penuh tetapi macam situasi sekarang saya hanya tempah barang mengikut permintaan. InsyaAllah kami masih boleh meneruskan perniagaan namun tidak dapat membuat simpanan,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut berhasrat untuk mengembangkan perniagaannya jika terdapat lebihan dana.
Malah, dia ada cuba untuk memohon bantuan dana daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada Disember lalu.
Tambahnya, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), turut membantu dalam memberi surat sokongan untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak MARA.
“InsyaALLAH kalau ada lebihan dana memang ada terfikir untuk kembangkan perniagaan tetapi di sini sudah cukup stabil, orang lama dan orang baru dah tahu serta lokasi ini sangat strategik,” ujarnya.
Tak sangka menang anugerah
Sementara itu, dia tidak menyangka terpilih memenangi Anugerah Usahawan OKU pada Majlis Anugerah Usahawan Perak 2022 yang diadakan akhir tahun lalu walaupun pertama kali tercalon dalam kategori tersebut.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur terpilih walaupun banyak saingan. Memang tak sangka pertama kali tercalon dan menang serta dapat berdiri di sebelah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad,” katanya. – MG Perak
VIDEO:
MGPerak: Insiden ‘Tulang Meletup’ Ubah Kehidupan Nawari, Dari OKU Kini Usahawan Berjaya
MGPerak: Insiden ‘Tulang Meletup’ Ubah Kehidupan Nawari, Dari OKU Kini Usahawan Berjaya
Artikel Berkaitan: