IPOH – Penganjur aktiviti renang di perairan laut sekitar negeri ini disaran untuk mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini daripada berlaku.
Ini berikutan kejadian 30 peserta Teluk Senangin Open Water Swim 2025 yang terkena sengatan ubur-ubur dalam acara berkenaan.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, program seperti ini sekurang-kurangnya perlu dimaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan, walaupun mungkin tidak memerlukan kelulusan khas.
“Jika mereka mengesyaki terdapat ancaman seperti kehadiran ubur-ubur, mereka sepatutnya mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut. Mujurlah dalam kes ini, tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kamera Fundus untuk Saringan Mata Komuniti di Kelab Ipoh Diraja di sini, pada Ahad.
Katanya, program berkenaan dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu bersama pihak swasta dan tidak melibatkan kerajaan negeri.
“Kita tidak tahu menahu mengenai penganjuran program ini. Exco Sukan pun tidak tahu, Exco Kesihatan pun tidak tahu. Ini bukan program di bawah Kerajaan Negeri Perak.
“Namun begitu, kita telah mengambil segala langkah sewajarnya untuk membantu semua mangsa. Kesemua 30 individu yang menerima rawatan sebagai pesakit luar telah pun dibenarkan pulang,“ ujarnya.
Beliau turut menyifatkan insiden ini sebagai satu pengajaran penting, bukan sahaja kepada Kerajaan Negeri Terengganu, tetapi juga kepada mana-mana pihak yang bercadang untuk menganjurkan program melibatkan aktiviti laut.
“Mungkin di negeri mereka sendiri mereka lebih arif, tetapi apabila melibatkan negeri lain, mereka perlu lebih berhati-hati. Saya sendiri tidak tahu mengenai program ini.
“Saya akan panggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan bagaimana program ini boleh dijalankan tanpa sebarang makluman atau kebenaran daripada Jabatan Laut,” tegasnya.
Dalam pada itu, Sivanesan turut memaklumkan bahawa tiada sebarang laporan sebelum ini daripada penduduk tempatan mengenai kehadiran ubur-ubur di kawasan tersebut.
“Orang awam, terutamanya penduduk tempatan, biasanya tidak akan pergi jika mereka tahu ada ancaman seperti itu. Setakat ini, memang tiada laporan daripada mereka,” ujarnya lagi.
Semalam, media melaporkan seramai 30 peserta Teluk Senangin Open Water Swim 2025 mengalami kecederaan akibat terkena sengatan ubur-ubur dalam acara berkenaan.
Kesemua mangsa yang berusia antara 11 hingga 15 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan dan berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, Pengarah program, Saiful Nizam Kamal Arifin dilaporkan berkata, kehadiran ubur-ubur adalah cabaran semula jadi yang lazim dalam acara renang laut terbuka dan telah ditangani secara profesional. – MG Perak
Artikel Berkaitan: