IPOH – Seorang pegawai kanan polis maut manakala seorang remaja lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kilometer 287.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini pada Ahad.
Mangsa, Inspektor Muhamad Helmi Hakim Muhamad Raus, 30, yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Pusat Pemantauan Trafik (TMC) PLUS sekitar jam 9.40 pagi.
“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dari arah selatan menuju ke utara telah dilanggar dari belakang oleh motosikal berkuasa tinggi jenis yang ditunggang mangsa.
“Pelanggaran itu mengakibatkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan sebelum disahkan meninggal dunia oleh paramedik di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal Honda Wave hanya mengalami kecederaan ringan,“ katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Penunggang basikal maut jatuh dari jejantas motosikal di Taiping