MELAKA – Pergerakan Pemuda UMNO mengecam sekeras-kerasnya tindakan beberapa pimpinan politik yang tidak menghormati institusi raja-raja kebelakangan ini.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, ia menunjukkan satu sikap yang tidak beradab dan mewujudkan prasangka terhadap institusi berkenaan.
“Pertama berhubung kenyataan sinis Tan Sri Abdul Hadi Awang yang secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan Sultan Selangor dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata.
“Selepas itu Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pula dalam satu kenyataan mengulas Titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sempena Pembukaan Parlimen Penggal Keempat, Parlimen Ketiga Belas, beliau menyatakan “Agong telah crossed the line“,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Dr Akmal, Pergerakan Pemuda UMNO menyarankan agar satu undang-undang khas digubal oleh Kerajaan dan Parlimen untuk mengawal sebarang tindakan tidak beradab malah derhaka terhadap Institusi Raja-raja Melayu sejajar dengan Prinsip Rukun Negara.
“Institusi raja bukan modal untuk sesiapa meraih dividen politik bagi survival mana-mana individu atau parti. Ia sebaliknya, harus dimartabat, dipelihara dan dihormati,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yakin konteks yang disampaikan oleh Yang Dipertuan Agong dan Sultan Selangor adalah bertujuan untuk memastikan keharmonian negara.
“Titah baginda juga bagi, kestabilan dan kesatupaduan rakyat Malaysia terus terpelihara dan fokus diberikan sepenuhnya kepada usaha memajukan negeri dan negara.
“Saya juga yakin bahawasanya, baginda juga amat arif dan mendapat nasihat serta pandangan yang cukup berkenaan soal perlembagaan dan tugas sebagai pemelihara Islam sebagai agama rasmi Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette