IoT bantu atasi krisis petani muda di Perak

IPOH – Inisiatif Perak memperkenalkan penggunaan teknologi internet pelbagai benda (IoT) dalam sektor pertanian sebagai langkah strategik menangani ketandusan penyertaan belia dalam bidang itu mendapat reaksi positif banyak pihak.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Tambun, Ashraf Kahasani berkata, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan negeri bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan teknologi pertanian moden dalam kalangan belia.

Menurutnya, pelaksanaan teknologi pertanian moden adalah satu pendekatan proaktif yang dapat meningkatkan daya tarikan sektor pertanian kepada generasi muda serta berpotensi memastikan kelangsungan bekalan makanan negara.

“Kami melihat isu kekurangan petani muda bukan sekadar soal ekonomi, tetapi turut menyentuh aspek keselamatan makanan negara.

“Statistik Banci Pertanian 2024 menunjukkan hanya 23.4 peratus belia berusia 15 hingga 45 tahun di Perak terlibat dalam sektor ini dan ia agak membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kebergantungan kepada petani warga emas yang semakin lanjut usia akan memberi kesan terhadap tahap produktiviti pertanian negara dalam jangka masa panjang.

Katanya, antara punca utama generasi muda kurang berminat terhadap pertanian ialah kurangnya pendedahan kepada teknologi moden, kekangan modal, akses terhad kepada tanah, serta keterbatasan latihan yang relevan.

”Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan teknologi pertanian moden dan menarik penyertaan lebih ramai anak muda, AMK Tambun menggariskan lima cadangan strategik iaitu koordinasi agensi kerajaan bagi memudahkan saluran bantuan teknikal, geran, dan latihan kepada petani muda.

“Pendedahan awal teknologi IoT bagi pertanian moden perlu diperkenalkan seawal peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi, dan komuniti setempat bagi menanam minat terhadap pertanian sejak awal.

“Memperluas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian moden perlu ditambah baik untuk melahirkan petani muda berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran industri,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya pendekatan rantaian nilai kaedah digunakan bagi memantau dan menilai impak penyertaan belia dalam sektor pertanian dari peringkat latihan hingga pemasaran hasil.

“Menyediakan akses kepada tanah khusus untuk petani muda yang telah dilatih dan menunjukkan komitmen tinggi dalam menjadikan pertanian sebagai kerjaya.

“Kita yakin masa depan pertanian negara terletak di tangan generasi muda dan akan terus menyokong sebarang langkah kerajaan dalam memperkasa golongan ini, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI dan agenda Pelan Perak Sejahtera 2030,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ikut jejak ayah, dorong dua beradik teroka ladang sayur

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI