IPOH – Ipoh International Run (IIR) akan ‘dihidupkan’ semula 28 Julai depan dengan membawa kelainan sempena Tahun Melawat Perak 2024 selepas kali terakhir diadakan pada 2017.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, penganjuran larian itu terhenti pada 2018 untuk memberi laluan kepada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) di negeri ini.
Menurutnya, tahun berikutnya berlakunya penularan wabak Covid-19 sehingga menyebabkan IIR tidak dapat diadakan atas faktor keselamatan.
“Pada tahun ini semua peserta akan dapat air kelapa muda sebiji menggantikan air isotonik dan ini adalah pertama kali kita menggunakan konsultan untuk melakukan perubahan dalam acara tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Pra Pelancaran IIR 2024 di Bangunan MBI di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Rumaizi berkata sebanyak 15 kategori akan dipertandingkan melibatkan jarak 21, 10 dan lima kilometer.
“IIR 2024 menyasarkan 5,000 penyertaan dari dalam dan luar negara dan sejak pendaftarannya dibuka pada 11 Mac lalu sebanyak 1,611 penyertaan telah diterima sehingga semalam
“Daripada jumlah itu, 35 penyertaan adalah dari luar negara melibatkan peserta dari China, Singapore, Netherland dan Brunei,” ujarnya.
Ujar beliau, acara bertaraf antarabangsa ini dijangka mampu menarik pelancong ke negeri ini dalam membantu mencapai sasaran empat juta pelancong ke Ipoh, termasuk sejuta pelancong asing.
IIR kali ini turut melantik dua duta untuk memeriahkan lagi penganjuran iaitu Samson Vellabouy dan Loo Kum Zee.
Peserta boleh merebut keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM14,800 dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang Howei, Raceroster dan Checkpoint Spot. – MG Perak