IPOH – Tiga sektor melibatkan pelancongan, kesihatan dan digital menjadi agenda utama perbincangan bagi pembangunan bersama antara bandar raya Ipoh dan Medan, Indonesia.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ketiga-tiga sektor ini dilihat amat penting dan akan memberi impak positif terhadap kemajuan kepada kedua-dua bandar serta menjadi agenda global yang perlu dicontohi.
“Bandar raya Ipoh kini sudah bersedia dan telah melaksanakan agenda ini, di samping ingin memperluas dan berkongsi lebih banyak idea bersama Medan.
“Pada masa sama, kerjasama ini dapat mengukuhkan hubungan bandar persahabatan antara kedua-dua bandar yang wujud sejak Ogos 2009,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertemuan bersama Wali Kota Medan, Bobby Nasution sempena Lawatan Kerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ke Medan, Indonesia, hari ini.
Rumaizi berkata, lawatan tersebut amat signifikan kerana Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 dan MBI sebagai pengerusi salah satu Jawatankuasa di bawah Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
“Sebelum ini, kesinambungan bandar persahabatan ini dilakukan menerusi Program Pertukaran Pelajar Bandaraya Persahabatan Ipoh-Medan yang dilaksanakan sejak tahun 2015,“ jelasnya.
Katanya, lawatan kerja tiga hari yang bermula semalam melibatkan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertemuan bersama Wali Kota Medan, lawatan ke pusat tumpuan seperti Istana Maimun, Masjid Raya Mashun dan Tanjong A Fie. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Terima 30 aduan berkaitan perniagaan kecil Dataran MBI – Rumaizi