IPOH – Bandar Raya Ipoh mempunyai peranan strategik sebagai pintu masuk utama pelancong, pusat pelancongan warisan dan peradaban nusantara, serta pemangkin kepada pembangunan koridor pelancongan bertaraf global.
Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah berkata, kedudukannya yang strategik, kekayaan bangunan kolonial, seni jalanan, lorong-lorong kreatif, serta kepelbagaian gastronomi dan komuniti sangat berpotensi untuk terus dimajukan sebagai destinasi pelancongan berasaskan pengalaman.
Justeru, beliau berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) komited untuk memastikan pembangunan pelancongan di bandar raya ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Perak Sejahtera 2030.
“Bagi tempoh 2026 hingga 2030, MBI akan mempertingkatkan promosi melalui kolaborasi tempatan, termasuk kerjasama dengan kafe, kedai dan usahawan setempat.
“Selain itu, kita akan mempelbagaikan aktiviti pelancongan bandar, dengan penglibatan aktif komuniti dan golongan kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Townhall Pelancongan Bandar Raya Ipoh 2026-2030 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Muhammad Aminuddin Abdul Majid dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Perak, Suhaimi Hassan Shari.
Dalam perkembangan sama, Zamakhshari menjelaskan MBI juga akan mengangkat konsep pelancongan berasaskan MADANI di bandar raya ini dengan memperkasa kawasan bandar lama, termasuk lorong seni, seni mural, dan laluan warisan.
“Kita juga akan mengoptimumkan penggunaan teknologi, seperti QR pelancongan dan peta digital, bagi meningkatkan pengalaman pelawat.
“Usaha ini bukan sahaja bertujuan menarik pelancong, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup warga Ipoh serta mewujudkan peluang ekonomi yang inklusif,” jelasnya.
Katanya, pelaksanaan inisiatif ini bukan sahaja bertujuan menarik lebih ramai pelancong, malah untuk meningkatkan kualiti hidup warga Ipoh serta mewujudkan peluang ekonomi yang lebih inklusif dan mampan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerja baik pulih Jambatan Jalan Tun Abdul Razak siap Februari ini


