IPOH – Siapa sangka, kawasan kandang kuda yang terbiar sebelum ini telah melalui transformasi baharu sebagai ruang komuniti dan perniagaan dikenali sebagai Bazar Kandang Kuda atau Ipoh Stables Market (ISM) iaitu pasar kandang pertama seumpamanya di Asia.
Daripada 800 kandang kuda sedia ada, 137 struktur telah terbiar serta kebanyakannya dibina sekitar tahun 1992 hingga 1993 dan tidak pernah dirobohkan.
Justeru, Kelab Lumba Kuda Perak (PTC) mengambil inisiatif dengan membangunkan semula kandang kuda berkenaan menjadi ISM bagi menonjolkan legasi kelab itu yang ditubuhkan pada tahun 1886.

PTC mengambil masa 11 bulan pada tahun lalu menjalankan kerja pengubahsuaian dan menaik taraf struktur premis berkenaan sebelum Perak Ipoh Stable Market (PISM) Management Sdn Bhd mengambil alin tanggungjawab bagi tujuan operasi dan pengurusan.
Pembangunan semula itu dilihat sebagai usaha pemuliharaan warisan sambil merancakkan ekonomi setempat, dengan kandang kuda bersejarah itu ditukar menjadi deretan gerai yang menempatkan peniaga tempatan, pengusaha makanan serta usahawan industri kreatif.
ISM bukan sahaja menawarkan pengalaman membeli-belah dan gastronomi yang unik, malah menjadi platform kepada komuniti setempat untuk berinteraksi dalam persekitaran yang mengekalkan elemen sejarah dan identiti asal PTC.

Premis itu mengekalkan sebahagian besar struktur asal, dengan kandang kuda lama diubah suai menjadi unit kedai termasuk pintu masuk utama dengan menampilkan pintu permulaan perlumbaan yang dipulihara dan dibeli dari United Kingdom sekitar 1960-an.
Setakat ini, sebanyak 90 gerai ditempatkan di enam lorong iaitu Mari Lane, Market Lane, Mata Lane, Maalaf Lane Manja Lane dan Mahu Lane.
Setiap lorong menampilkan konsep berbeza melibatkan makanan dan minuman tempatan, jualan barangan segar, hasil seni kraftangan, aktiviti sukan maya malah salah satu lorong turut menyediakan Klinik Veterinar PTC.

Selain itu, kemudahan asas seperti tandas, surau dan bilik penyusuan turut disediakan demi keselesaan pengunjung yang singgah di premis berkenaan.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, hampir 80 peratus daripada peniaga di ISM berusia bawah 35 tahun dan ada di antara mereka yang kembali ke Ipoh selepas bekerja di bandar besar atau luar negara.
Menurutnya, mereka bukan sahaja menjual produk, malah berkongsi kreativiti, aspirasi, dan pengalaman masing-masing sebelum ini yang kini dibawa pulang ke tanah kelahiran mereka di Ipoh.

“Pasar tersebut direka untuk semua golongan termasuk keluarga, remaja, pengunjung kali pertama, malah haiwan peliharaan turut disediakan ruang khas.
“Projek ini juga sebahagian daripada Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dengan menjadikan Ipoh satu lagi destinasi pelancongan menarik yang menggabungkan warisan, kreativiti dan semangat komuniti.
“Ia bukan sahaja ruang untuk orang tempatan bersantai, malah pengunjung boleh menerokai pelbagai pengalaman unik dengan berinterkasi bersama peniaga selain menyumbang kepada ekonomi pembangunan bandar raya ini,“ katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Pembukaan Rasmi ISM di PTC di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi PTC, Datuk John Lim Ewe Chuan dan Pengerusi Lembaga Pengarah Tourism Perak, Datuk Mohamad Kamil Shafie.
Dalam pada itu, Loh turut berkongsi visi kerajaan negeri untuk menghidupkan aktiviti waktu petang dan malam di Ipoh.
“Bayangkan pelancong bukan sahaja singgah beberapa jam, tetapi menginap, menikmati suasana lampu, makanan dan pengalaman unik Ipoh pada waktu malam.
“Ini adalah peluang pengusaha pelancongan untuk melabur, mencipta pengalaman dan menjadikan Ipoh lebih meriah serta meninggalkan memori yang tidak dapat dilupakan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
TMM 2026: Perak sasar kehadiran pelancong Thailand, Indonesia


