TANJUNG MALIM – Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini wajar meraikan kecemerlangan mahasiswa di dalam bidang sukan yang membawa imej baik kepada institut masing-masing dan Perak.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, ia sebagai penghargaan kepada mereka yang menempa nama, mencipta kejayaan dan mengharumkan negeri ini.
“Sewajarnya kecemerlangan mahasiswa dalam bidang sukan perlu diberi pengiktirafan dan penghargaan dengan saya berharap lebih banyak IPT termasuklah politeknik, kolej-kolej yang ada di Perak mengambil inisiatif ini.
“Langkah seperti ini untuk beri penghargaan kepada mahasiswa yang berjaya cipta kejayaan dan membawa nama serta imej baik kepada IPT masing-masing di Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Malaysia Gazette (MG) Perak selepas hadir pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan UPSI 2023, di sini, pada malam Isnin.
Mengulas mengenai Anugerah Kecemerlangan Sukan UPSI 2023, Khairudin berkata, anugerah yang dianjurkan sejak 2011 itu membuktikan komitmen UPSI dalam menghargai kejayaan mahasiswa serta kakitangannya.
Menurut Khairudin, komitmen yang diberikan UPSI di bawah pimpinan Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff wajar dicontohi IPT lain di Perak.
“Lebih membanggakan ada di kalangan pelajar UPSI telah dipilih mewakili negara di kejohanan Sukan SEA dan ini merupakan kejayaan cukup besar khususnya mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga bidang sukan.
“Seharusnya mereka ini menjadi ikon dalam kalangan pelajar UPSI dan IPT lain. Taniah dan syabas kepada UPSI atas penganjuran ini,” katanya.
Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan UPSI diperkenalkan oleh Pusat Sukan sejak tahun 2011 dan ia diilhamkan oleh Md Amin yang ketika itu memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Sukan.
Anugerah utama yang menjadi rebutan dikalangan atlet atau penggiat sukan UPSI ialah Anugerah Bintang Harapan (L), Bintang Harapan (W), Olahragawati dan Olahragawan.
Pada majlis berkenaan atlet renang Kilian Ung Shishuang dan atlet kayak, Nur Adlina Nasreen Mohd Nasri masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati UPSI dan membawa pulang piala pusingan, sijil, serta wang tunai RM1,000.
Sementera itu, atlet olahraga Sriven Tan dan atlet boling Noratiqah Syauqina Hasmidi masing-masing dinobatkan sebagai Bintang Harapan yang membawa pulang piala pusingan, sijil, serta wang tunai RM800. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Karnival Siswa Perak Sejahtera 2030, himpun 805 mahasiswa Perak