IPT perlu dikemas kini ikut keperluan semasa – Zambry

TAPAH – Institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini perlu memastikan pendidikan dan pembelajaran sentiasa dikemas kini mengikut keperluan semasa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, nilai kemanusiaan, kerohanian, moral dan etika melibatkan pelajar perlu diterapkan supaya mereka mampu menghadapi pelbagai cabaran pada masa kini.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan perekasayaan dan transformasi pendidikan tinggi negara bagi mendepani kemunculan dunia kecerdasan teknologi (AI) mengubah lanskap pendidikan global secara keseluruhannya.

“Dalam dunia yang sedang berkembang pesat hari ini, peranan pendidikan tinggi adalah lebih penting dari sebelumnya. Selaku universiti terbesar di Malaysia Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggalas tugas dan peranan yang strategik dalam mendidik anak bangsa.

“Dengan adanya kampus yang dilengkapi dengan kemudahan terkini dan teknologi canggih ini, InsyaALLAH akan memastikan bahawa mahasiswa mahasiswi kita mempunyai akses kepada sumber yang mereka perlukan untuk berjaya.

“Penubuhan UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah ini turut memberi peluang pekerjaan kepada ratusan staf dan pensyarah muda yang pastinya membawa semangat baru di dalam kampus.

“Faktor ini menjadi satu kelebihan bagi UiTM kerana selain atribut fizikal, kualiti pendidikan, semangat pendidik kita dan semangat pelajar kita juga akan membawa kegemilangan kepada institusi ini,“ katanya.

IPT perlu dikemas kini ikut keperluan semasa - Zambry
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berucap pada Majlis Perasmian Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 OGOS 2024.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena perasmian UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah, pada Khamis.

Dalam pada itu, Zambry berkata, perasmian pada hari ini adalah iltizam dalam merealisasikan hala tuju 10 lonjakan di dalam Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2022–2025 berdasarkan beberapa bidang fokus termasuk Memacu dan Menyemarakkan Kesejahteraan Komuniti.

“Setelah tertubuhnya sebuah universiti di Tapah, pembangunan di daerah ini juga menyusul tiba. Pembangunan ekonomi dan sosial adalah sebahagian daripada manfaat yang diterima masyarakat sekitar sama ada secara langsung atau secara tidak langsung.

“Pelbagai program keusahawanan dan kemasyarakatan juga bakal mengeratkan hubungan warga universiti dan komuniti. Kita percaya pada kuasa kerjasama menjalin hubungan kukuh dengan rakan kongsi tempatan nasional dan global.

Beliau berkata, pada masa hadapan, UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah bakal berdiri teguh sebagai pusat inovasi, kreativiti dan pemikiran kritis, tempat di mana idea dilahirkan, dicabar dan diperhalusi.

“Menjadi harapan kami agar pendidikan dan pengalaman yang diperoleh di sini akan memberi ruang kepada pelajar kita untuk menjadi pemimpin, pencetus inovasi perubahan dalam bidang masing-masing dan komuniti mereka,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Perak berkenan rasmi UiTM Kampus Tapah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI