TANJUNG MALIM – Seorang wanita maut manakala suaminya cedera selepas kenderaan yang mereka naiki hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok pembahagi jalan dalam nahas yang berlaku di Kilometer 96 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur di sini petang Isnin.
Mangsa, Nur Syuhada Mohd Yusoff, 32, yang bertugas sebagai Kerani Pemberhentian Tatatertib, Seksyen Rekod Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Arah Rekod dan Pencen maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Muhamad berkata, Kaunter Aduan Trafik Muallim telah terima panggilan telefon dari Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim memaklumkan berlaku kemalangan maut sekitar jam 3 petang.
“Siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati kereta itu dinaiki seorang lelaki berusia 34 tahun iaitu pemandu kereta jenis Toyota Vios bersama seorang wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan dalam perjalanan dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur.
“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan yang dinaiki mangsa telah hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terbabas melanggar tembok pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan.
“Kemalangan ini mengakibatkan wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan.
“Manakala pemandu yang mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Slim River bagi menerima rawatan lanjut,“ katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ribuan penganut hindu penuhi kuil Gunung Cheroh raikan sambutan Deepavali