Istiadat ratusan tahun Datuk Panglima Kinta kembali diadakan

IPOH – Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan kekayaan budaya dan adat istiadat yang diwarisi daripada generasi ke generasi, ibarat peribahasa ‘Tak lapuk di hujan, tak lekang di panas.

Baik daripada golongan kebanyakkan sehingga ke golongan pemerintah, setiap anggota masyarakat mempunyai adat istiadat tersendiri seperti adat perkahwinan, kematian, berpantang selepas bersalin, berkhatan, pertabalan raja dan sebagainya.

Di Negeri Perak, selepas 43 tahun tidak berlangsung, Istiadat Tabal Mandi Balai kembali diadakan sebagai sebahagian daripada Istiadat Pertabalan Datuk Panglima Kinta Ke-18, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan di perkarangan kediaman rasmi Orang Besar Jajahan Kinta, di sini, pada Isnin.

Datuk Panglima Kinta, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan (tiga, kiri) ketika sesi bergambar pada Istiadat Tabal Mandi Balai di perkarangan kediaman rasmi Orang Besar Jajahan Kinta, Ipoh, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 JULAI 2025.

Sekitar jam 9.30 pagi, istiadat dimulakan dengan bacaan doa sebelum Ab Wahab dan isteri Toh Puan Datin Lailee Abdul Hamid dibawa mengelilingi satu pusingan sebelum naik ke tempat mandi atau dikenali sebagai Panca Persada bagi diadakan upacara bersiram.

Istiadat Tabal Mandi Balai yang diadakan di balai dengan ketinggian tujuh anak tangga itu diiringi irama muzik tradisional Melayu dari paluan kumpulan rebana.

Datuk Panglima Kinta, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan dan isteri dibawa ke Panca Persada untuk dimandikan pada Istiadat Tabal Mandi Balai di perkarangan kediaman rasmi Orang Besar Jajahan Kinta, Ipoh, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 JULAI 2025.

Upacara bersiram pula disempurnakan waris-waris Ab Wahab sambil disaksikan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; tetamu kehormat, Orang Besar Jajahan lain serta ahli keluarga.

Air yang terdahulu disimpan dalam tujuh buyung itu kesemuanya diambil dari tujuh sungai di sekitar daerah Kinta iaitu Sungai Seno’oi di Kampung Sungai Tonggang, Sungai Kinding, Sungai Pinji, Sungai Raia, Sungai Buntong di Bukit Leluhur, Sungai Kledang dan Sungai Papan.

Menurut pengkaji sejarah dan adat istiadat tempatan, Fazil Shuhaimi Talib, istiadat berkenaan mempunyai persamaan dengan Istiadat Tabal Pusaka sebagaimana dalam Istiadat Pertabalan Sultan Perak.

Katanya, ia dapat dilihat daripada segi persiapan dan perjalanan Istiadat Tabal Mandi Balai yang merangkumi paluan muzik tradisional, upacara bersiram dari air tujuh sungai, Panca Persada dan sebagainya.

Fazil Shuhaimi Talib. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 JULAI 2025.

Fazil memberitahu, sebagaimana dalam Istiadat Pertabalan Sultan Perak, Istiadat Tabal Mandi Balai Datuk Panglima Kinta juga mengamalkan konsep hampir sama iaitu pada tujuh air sungai dan tujuh anak tangga Panca Persada sebagai lambang tujuh petala langit, dan tujuh petala bumi.

Beliau yang juga salah seorang waris keluarga Datuk Panglima Kinta berkata, ini kerana jalur keturunan Datuk Panglima Kinta atau Ab Wahab bersambung dengan jalur keturunan Kesultanan Perak.

“Di Negeri Perak, istiadat ini hanya dilangsungkan oleh dua individu iaitu Sultan Perak dan Datuk Panglima Kinta. Ini kerana Datuk Panglima Kinta merupakan individu bangsawan yang berketurunan diraja.

“Jika dikaji susur galur keturunan beliau, ia akan bersambung dengan Sultan Perak Kedua, Sultan Mansur Shah I. Dan oleh sebab itu juga Panglima Kinta memegang gelaran Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja,” katanya ketika ditemui di sini, pada Isnin.

Istiadat Panglima Kinta Datuk Ab Wahab Perak kinta kesultanan perak sultan perak warisan Tabal Mandi Balai, Warisan Kinta, Adat Perak, Sejarah Panglima Kinta
Datuk Panglima Kinta, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan ketika di Panca Persada pada Istiadat Tabal Mandi Balai di perkarangan kediaman rasmi Orang Besar Jajahan Kinta, Ipoh, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 JULAI 2025.
Datuk Panglima Kinta, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan dan isteri dimandikan pada Istiadat Tabal Mandi Balai di perkarangan kediaman rasmi Orang Besar Jajahan Kinta, Ipoh, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 JULAI 2025.

Istiadat Tabal Mandi Balai bermula dari Datuk Panglima Kinta Ke-12

Fazil berkata, meskipun rekod sejarah mencatatkan istiadat itu mula dilaksanakan oleh Datuk Panglima Kinta Ke-12, namun beliau tidak menolak kemungkinan ia terlebih dahulu dijalankan oleh Datuk Panglima Kinta Pertama, Toh Tambak.

Justeru kata beliau, berkemungkinan Istiadat Tabal Mandi Balai ini merupakan upacara tradisi dan warisan buat keluarga Datuk Panglima Kinta yang telah mencapai usia ratusan tahun.

Suasana sekitar Istiadat Tabal Mandi Balai di perkarangan kediaman rasmi Orang Besar Jajahan Kinta, Ipoh, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 JULAI 2025.

Fazil memberitahu, tiada ketetapan tempoh masa bagi diadakan istiadat berkenaan, namun lazimnya ia akan berlangsung dalam tempoh terdekat selepas Sultan Perak memberi perkenan terhadap pelantikan Datuk Panglima Kinta.

Bercerita lanjut tentang keturunan asal Datuk Panglima Kinta, Fazil berkata, ia bermula apabila Sultan Mansur Shah I mengahwini anak perempuan kepada seorang ketua masyarakat Orang Asli dari suku Semang di Kuala Kinta sebagai isteri kedua.

Istiadat Panglima Kinta Datuk Ab Wahab Perak kinta kesultanan perak sultan perak warisan Tabal Mandi Balai, Warisan Kinta, Adat Perak, Sejarah Panglima Kinta
Datuk Panglima Kinta, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan ketika di Panca Persada pada Istiadat Tabal Mandi Balai di perkarangan kediaman rasmi Orang Besar Jajahan Kinta, Ipoh, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 JULAI 2025.

Kata beliau, perkahwinan itu kemudian melahirkan beberapa putera dan puteri, antaranya Toh Changkat Piatu atau dikenali dengan gelaran Kulop Kinta.

“Toh Changkat Piatu kemudian berkahwin dengan seorang puteri dari masyarakat Orang Asli suku Temiar dari Hulu Kinta yang bernama Puteri Mazwin.

“Hasil perkahwinan itu melahirkan Tok Chendang yang telah diberi gelaran Seri Maharaja Kinta oleh Sultan Perak yang ke-10, Sultan Muzaffar Shah II, kerana jasa kebaktian beliau kepada baginda.

“Tok Chendang kemudian berkahwin dengan Puteri Fatimah dan melahirkan Toh Tambak, yang memegang jawatan Panglima Kinta yang pertama bagi Negeri Perak sekitar tahun 1670 sehingga 1710,” jelas beliau.

Wajar pertahan keunikan Istiadat Tabal Mandi Balai 

Fazil memberitahu, keunikan Istiadat Tabal Mandi Balai bagi Datuk Panglima Kinta wajar dipertahankan generasi akan datang kerana ia mempunyai nilai dan warisan Nusantara yang unik.

Kata beliau, suntikan elemen Orang Asli juga menambah seri keunikan pada istiadat apabila ia menunjukkan penghargaan kepada susur galur asal yang menjadi sebahagian keturunan Datuk Panglima Kinta.

Istiadat Panglima Kinta Datuk Ab Wahab Perak kinta kesultanan perak sultan perak warisan Tabal Mandi Balai, Warisan Kinta, Adat Perak, Sejarah Panglima Kinta
Para tetamu tidak melepaskan peluang menyaksikan Istiadat Tabal Mandi Balai di perkarangan kediaman rasmi Orang Besar Jajahan Kinta, Ipoh, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 JULAI 2025.
Seramai 17 batin dari perkampungan Orang Asli di sekitar Daerah Kinta terlibat dalam upacara Mandi Balai yang menjadi sebahagian daripada Istiadat Pertabalan Datuk Panglima Kinta, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan yang berlangsung di perkarangan kediaman rasmi Orang Besar Jajahan Kinta, Ipoh, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 JULAI 2025.

“Upacara seperti bersiram ini lazimnya dilakukan oleh golongan sultan atau raja, namun di sini ia unik kerana melibatkan Datuk Panglima Kinta yang mempunyai darah diraja.

“Jika diamati pada nilai budaya, istiadat seumpama ini turut ada dan pernah diamalkan di beberapa kawasan di rantau ini termasuk di Indonesia, Filipina dan selatan Thailand.

“Oleh itu saya berharap istiadat seumpama ini wajar dipertahankan oleh setiap generasi pada masa akan datang kerana ia merupakan perlambangan kepada jati diri Melayu Nusantara yang kaya dengan warisan,” katanya lagi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin berangkat rasmi Istiadat Pembukaan Persidangan DUN Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI