KUALA LUMPUR – Penggunaan istilah ‘rumah anutan haram’ atau ‘kuil haram’ dalam merujuk kepada struktur ibadat yang dibina tanpa kebenaran adalah tepat daripada sudut bahasa perundangan dan tidak seharusnya dijadikan polemik yang menggadaikan ketegasan undang-undang.
Peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, penggunaan istilah tersebut merujuk secara khusus kepada ketidakpatuhan perundangan dalam pengwujudan struktur binaan tersebut dan bukannya merujuk kepada anutan agama itu sendiri.
“Adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak termasuk pimpinan kerajaan negeri cuba menyekat penggunaan istilah betul itu semata-mata atas alasan sensitiviti kaum yang tidak berasas.
“Sensitiviti kaum ataupun agama tidak boleh secara salah dikompromi atau menggadaikan penggunaan betul istilah bahasa perundangan berkaitan maksud sebenar ‘rumah anutan atau kuil haram’ berkenaan.
“Jika bahasa itu difahami secara betul, maka sensitiviti yang salah itu tidak mungkin muncul,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu yang meminta orang awam tidak menggunakan label ‘haram’ kerana didakwa bersifat menghukum dan menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk.
Dalam pada itu, Mohamed Haniff berkata, tindakan exco berkenaan adalah satu cubaan memberi saranan yang seleweng terhadap laras bahasa kebangsaan dan perspektif perundangan.
“Setiap pihak perlu menghormati kaedah maksud bahasa, apatah lagi ia melibatkan Bahasa Melayu yang menjadi laras utama dalam perundangan negara.
“Penggunaan laras bahasa dari sudut perspektif itu hendaklah difahami dengan lengkap dan betul.
“Justeru, penggunaan frasa tersebut sememangnya tepat merujuk kepada ketidakpatuhan perundangan dalam pengwujudan struktur tersebut,” katanya lagi.
Tambah beliau, ia sama sekali tidak boleh dimaksudkan sebagai merujuk kepada anutan agama langsung.
“Keharmonian masyarakat tidak seharusnya dibina di atas kekeliruan bahasa yang akhirnya boleh melemahkan penguatkuasaan terhadap pembinaan struktur secara menyalahi undang-undang di tanah swasta mahupun tanah awam.
“Kalau tidak tahu menari, jangan salahkan lantai jongkang-jongket,” katanya.
Terdahulu, perkara sama turut dibangkitkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer secara terbuka menggesa ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari untuk menarik balik kenyataan yang didakwa menyentuh isu sensitiviti 3R (agama, raja, kaum) selepas Ahmad Fadhli menggunakan istilah binaan haram dan rumah ibadat haram berulang kali dalam perbahasan di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Ahmad Fadhli berkata, kedua-dua istilah itu adalah perkataan yang biasa digunakan dan bukan penghinaan sama sekali kerana tidak merujuk kepada mana-mana rumah ibadat tertentu ketika menggunakan istilah tersebut dalam perbahasannya. – MalaysiaGazette


