Isu GISBH: Saarani akan menghadap Sultan Perak dalam masa terdekat

LENGGONG – Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dijangka menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas laporan lengkap berhubung aktiviti Global Ikhwan Services dan Business Holdings (GISBH) diperoleh daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Menurutnya, beliau akan berbuat demikian dalam masa terdekat bagi mempersembahkan perkembangan berhubung isu GISBH kepada Sultan Nazrin yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Beliau juga telah meminta JAIPk untuk mengumpul data dan menyediakan laporan berkaitan kepercayaan dan ajaran dalam syarikat berkenaan.

“Di Perak, kita sedang mengumpul maklumat dan saya dimaklumkan memang ada (gerakan GISBH). Jadi, kita kena tunggu keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan (sama ada kepercayaan dan ajaran GISBH difatwakan sesat).

“Setakat ini, sama ada serius atau tidak (isu GISBH), kita kena tunggu laporan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Rimba Raid Lenggong 2024 di Kampung Beng, di sini, pada Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, setakat semalam seramai 55 kanak-kanak telah diselamatkan daripada rumah amal kendalian GISBH di seluruh Perak.

Katanya, kesemua kanak-kanak terbabit akan diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ditempatkan di sebuah rumah kebajikan negeri ini.

“Perkara ini telah diuruskan Datuk Salbiah Mohamed (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak) dan difahamkan semalam sudah ada 55 orang kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah terlibat yang telah dikumpulkan di rumah amal tersebut.

“Mereka akan diuruskan JKM dan dikumpulkan di sebuah rumah kebajikan di negeri ini. Bagaimanapun, setakat ini kita belum memperoleh maklumat lengkap berhubung kanak-kanak terlibat,” ujarnya.

Terdahulu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah mengisytiharkan GISBH sebagai ajaran sesat kerana mempunyai unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Muftinya, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ajaran yang dibawa kumpulan itu merupakan kesinambungan daripada ajaran Al-Arqam yang pernah difatwakan sesat. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kompaun RM4.4 juta dikeluarkan kepada 12 syarikat berkaitan GISBH – Armizan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI