KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memandang serius isu penjualan stoking tertera kalimah Allah dan berharap perkara tersebut tidak mengganggu-gugat keharmonian negara.
Dalam kenyataan pagi ini, Tunku Ismail bertitah, isu tersebut tidak boleh dipandang remeh.
“Kalimah Allah adalah kalimah suci yang sangat tinggi di hati umat Islam,” titah baginda.
Sehubungan dengan itu, baginda menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas mengenai isu berkenaan dan memastikan isu seperti itu tidak akan berulang lagi.
“Saya memandang serius isu ini dan berharap perkara ini tidak mengganggu gugat keharmonian negara,” titah baginda lagi.
Baru-baru pasar raya KK Mart didapati menjual stoking bercetak kalimah “Allah” dalam tulisan Arab dan Rumi sehingga mencetuskan kegelisahan dan kemarahan penganut Islam.
Tindakan itu disifatkan sebagai biadab dan merupakan siri berterusan menghina agama Islam. Pelbagai pihak tampil membantah dan menggesa umat Islam memboikot pasar raya KK Mart.
Rentetan daripada itu, pengurusan KK Mart memohon maaf dengan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Dr KK Chai menyatakan beliau sendiri tidak boleh terima penjualan stoking terdapat kalimah Allah.
Chai berkata, sepanjang tempoh 23 tahun mengusahakan perniagaan terbabit, tidak pernah pihaknya melakukan kesilapan seumpama itu dan telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Antara yang lantang membantah tindakan KK Mart adalah Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh sehingga menimbulkan pertelingkahan pandangan membabitkan barisan pemimpin DAP. – MalaysiaGazette