IPOH – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad meminta agar kenyataannya berkenaan perarakan mengibar bendera China di sekitar Menara Condong Teluk Intan, pada Jumaat tidak disalahertikan.
Tegas beliau, pendirian kerajaan negeri jelas bahawa apa juga kegiatan dalam sebarang acara atau perhimpunan adalah tidak menjadi kesalahan selagi ia mematuhi peraturan serta undang-undang sedia ada.
Saarani berkata, sebaliknya adalah menjadi kesalahan sekiranya ada mana-mana warga Malaysia yang mengibarkan bendera asing kerana ia adalah tindakan yang dilihat seperti mengagung-agungkan negara lain.
“Tindakan mana-mana warga asing mengibarkan bendera kebangsaan masing-masing di luar negara bukan sesuatu yang janggal.
“Malah pemandangan sedemikian biasa dilihat dalam banyak perhimpunan di luar negara termasuk dalam temasya sukan.
“Bagaimanapun, perbuatan sedemikian tetap tertakluk dengan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sesebuah negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Susulan itu, Saarani berkata, dalam sidang media pada Jumaat, beliau telah meminta agar kes berkenaan disiasat oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti sama ada ia melibatkan warga asing atau sebaliknya.
“Dalam konteks kejadian di Teluk Intan, pihak polis sedang melakukan siasatan terhadap kumpulan berkenaan mengikut saluran
undang-undang termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.
“Sehubungan itu, semua pihak perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas jika ada berlaku pelanggaran terhadap peraturan atau undang-undang sedia ada,” tambah beliau lagi.
Dalam satu sidang media pada Jumaat, Saarani diminta mengulas berkenaan isu tular berkenaan perarakan sekumpulan individu mengibar bendera Chinaberhampiran Menara Condong Teluk Intan.
Menteri Besar menegaskan, perbuatan itu menjadi kesalahan sekiranya ia dilakukan sendiri oleh warga tempatan kerana ia dilihat seolah-olah mengagungkan negara luar.
Polis Perak dilaporkan berkata menerima sebanyak 16 laporan susulan insiden berkenaan pada Khamis.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, perintah untuk menyiasat (OTI) turut diperolehi daripada Pendakwa Raya untuk menjalankan siasatan.
Terdahulu, beberapa video tular di media sosial memaparkan sekumpulan individu dilihat mengibarkan bendera China di kawasan berhampiran Menara Condong Teluk Intan sambil bersorak.
Penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia kemudian tampil memohon maaf atas insiden berkenaan
Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua berkata, perbuatan itu dilakukan rombongan yang berasal dari China dan tidak membabitkan warga Malaysia. – MG Perak
Artikel Berkaitan