TAPAH – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yakin sokongan pengundi kaum India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak akan terjejas berikutan isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di ibu negara.
Menurutnya, isu itu jika tidak dibangkitkan oleh sayap gabungan Barisan Nasional (BN) mungkin memberi impak lebih besar yang boleh merosakkan kepercayaan masyarakat India terhadap calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK ini.
“Kalau kita tak bersuara ia mungkin menjejaskan. Hari ini saya rasa mereka (masyarakat India) (sudah) reda. Kita lihat tak banyak komen daripada masyarakat India sebab mereka yakin bahawa ada wakil mereka bersuara dan percaya jaminan yang telah diberikan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada sekolah-sekolah menengah dalam Parlimen Tapah di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan masyarakat India di Malaysia tetap yakin bahawa kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk semua rakyat tanpa mengira kaum.
“Seperti mana saya sebut semalam, kita sudah letak kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan.
“Kerajaan akan buat sesuatu yang terbaik untuk rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan kita hormat negara ini, Islam sebagai agama rasmi serta akur kepada keputusan kerajaan.
“Saya percaya cukuplah jaminan yang diberi oleh kerajaan dan kita tidak perlu memperbesarkan isu ini,” jelasnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengingatkan semua pihak agar tidak cuba menjadi ‘jaguh’ dalam isu Kuil Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India dan menggesa penyelesaian dilakukan secara harmoni tanpa mencetuskan ketegangan kaum.
Sementara itu, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah memaklumkan, sumbangan Aidilfitri kali ini melibatkan 1,029 pelajar Tingkatan Lima dan Enam dari 11 sekolah.
“Ini adalah program tradisi Pejabat Parlimen Tapah bagi meraikan pelajar-pelajar,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK DUN Ayer Kuning: BN yakin masih dapat kepercayaan orang asli