Isu lagu Negaraku : ‘Ratu Naga’ ditahan bantu siasatan polis – Fahmi

TAPAH – Pempengaruh dan aktivis politik, Syarul Ema Rena Abu Samah atau dikenali sebagai ‘Ratu Naga’ ditahan polis pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan lagu ‘Negaraku’ dinyanyikan bukan dalam bahasa kebangsaan oleh sekumpulan murid di sebuah sekolah di Negeri Perak.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang mengesahkan perkara itu berkata, tindakan itu susulan siasatan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini.

“Baru-baru ini tular video dakwaan seorang pempengaruh media sosial mendakwa berlaku insiden seolah-olah lagu Negaraku yang dinyanyikan dalam Bahasa Mandarin.

“Akan tetapi perkara itu telah ditegur dan pihak polis dan MCMC telah menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

“(Dan terkini) saya dimaklumkan pempengaruh itu telah ditahan untuk siasatan lanjut oleh pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita pada program Mini Akademi Asas Penerangan (ASAS) di Pejabat Penerangan Daerah Batang Padang dekat sini, pada Khamis.

Difahamkan Ratu Naga ditahan Polis Perak sekitar jam 12 tengah hari di Petaling Jaya, Selangor, pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan, polis menerima tiga laporan berhubung penularan sebuah video memaparkan sekumpulan murid menyanyikan Lagu Kebesaran Neger Perak yang disalah tafsir sebagai lagu kebangsaan dinyanyikan dalam bahasa lain.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, video berdurasi 3 minit 40 saat itu dirakam ketika Majlis Pelancaran Kelab Tarian Naga di sebuah sekolah di Teluk Intan pada 6 Jun 2024.

Beliau dilaporkan berkata, hasil siasatan awal mendapati lagu yang dinyanyikan dalam video tersebut bukan lagu kebangsaan, sebaliknya Lagu Kebesaran Negeri Perak.

Artikel berkaitan:

Mengulas lanjut Fahmi berkata, pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang telah dikuatkuasakan seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenang menyebarkan sebarang perkara yang belum tentu disahkan di media sosial.

Justeru, beliau meminta agar pengguna media sosial untuk sentiasa berhati-hati dalam membuat perkongsian terhadap sebarang isu sebelum melakukan semakan terhadap kesahihannya.

“Jangan sebar berita yang kita tak pasti. Tak pasti jangan kongsi.

“Semak dahulu dan buat pengesahan dengan media arus perdana. Kalau media tidak melaporkan belum tentu perkara itu perkara yang betul,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Isu lagu Negaraku: Polis terima tiga laporan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI