Isu Orang Asli tiada geran tanah kelapa sawit: Boleh dapat pengesahan kerajaan negeri

KUALA KANGSAR – Orang Asli khususnya pekebun kecil sawit boleh mendapatkan pengesahan geran dan lesen syarat penjualan kelapa sawit daripada kerajaan negeri masing-masing.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengesahan daripada kerajaan negeri boleh dipertimbangkan sebagai geran yang memenuhi syarat penjualan seperti ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Menurutnya, perkara sama turut melibatkan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak yang tidak mempunyai geran.

“Jadi apa yang perlu kita buat kalau ada kes begitu pergi sahaja kepada kerajaan negeri dan minta pengesahan serta kita akan mempertimbangkannya sebagai geran.

“Apa penting mereka tak boleh pergi potong hutan tanpa ada kebenaran. Apabila kerajaan negeri beri pengesahan, kita akan proses serta beri justifikasi mengikut piawaian antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kilang minyak sawit berasaskan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) pertama di dunia di Minsawi Industries di sini, hari ini.

Isu Orang Asli tiada geran tanah kelapa sawit: Boleh dapat pengesahan kerajaan negeri
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada sidang media Majlis Perasmian Kilang Minyak Sawit Berasaskan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) Pertama di dunia di Minsawi Industries, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 19 NOVEMBER 2024.

Dalam perkembangan berkaitan, Johari memaklumkan syarat pemilikan tersebut diwujudkan bagi memenuhi dan mematuhi Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dan terpakai kepada semua pemain industri sawit.

“Pada masa ini, kita mengeluarkan 18.6 juta tan kelapa sawit dan kita pakai cuma lebih kurang empat ke lima juta tan sahaja manakala bakinya perlu balance dieksport.

“Jadi, apabila dieksport, China beli, India beli dan negara Eropah pun beli dengan jumlah eksport melebihi RM100 bilion setahun. Justeru, bagi memastikan pastikan perkara ini tidak hilang, ada piawaian yang perlu dipatuhi,“ jelasnya.

Katanya, setiap tanah yang menjalankan penanaman sawit perlu ada pengesahan dan kilang-kilang memproses sawit mempunyai Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) serta tidak boleh mengambil buah yang datang dari hutan-hutan yang dinyahkan.

Semalam, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Yaakob dilaporkan berkata, beliau didatangi wakil masyarakat Orang Asli di kawasannya yang melahirkan kebimbangan mereka susulan langkah kerajaan yang mahu mewajibkan perkara berkenaan  sebagai syarat penjualan kelapa sawit.

Justeru, beliau meminta MPOB untuk melonggarkan syarat penjualan buah kelapa sawit tanpa perlu mewajibkan geran tanah dan lesen kerana ia membebankan pekebun kecil khususnya masyarakat Orang Asli. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Harga minyak sawit kekal stabil antara RM3,850 hingga RM 4,050

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI