Isu rasuah terpalit tak harus cemari keseluruhan ATM, MINDEF – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menegaskan, kemelut melibatkan salah laku yang terpalit ke atas beberapa individu tidak harus mencemari keseluruhan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta warga Kementerian Pertahanan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemelut yang berlaku kebelakangan ini merupakan satu perkembangan mengejutkan bukan sahaja kepada negara malah turut mendapat perhatian dunia.

Menurut Anwar, negara masih bergelut dengan isu rasuah serta penyelewengan dana namun perkara itu tidak wajar dianggap mewakili keseluruhan institusi atau anggota yang setia memikul amanah.

“Kemelut yang membadai tidak harus dianggap mewakili seluruh anggota sama ada di Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia atau agensi berkaitan,” ucapnya ketika Majlis Peluncuran Industri Pertahanan Negara (DIPN) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sambung Anwar, meskipun terdapat beberapa individu yang terpalit dan masih berada dalam siasatan, perkara tersebut tidak boleh dijadikan asas untuk mencemarkan integriti di semua peringkat dalam Kementerian Pertahanan.

“Saya ingin jelaskan bahawa integriti dan iltizam anggota tidak harus terjejas. Amanah yang digalas oleh mereka adalah besar dan tidak wajar dinafikan hanya kerana perbuatan segelintir pihak,” tegasnya.

Ujar beliau lagi, dirinya tidak mahu kemelut yang melibatkan beberapa individu menyelubungi keseluruhan warga pertahanan yang selama ini berkhidmat dengan disiplin, semangat dan daya tahan tinggi.

Beliau turut menekankan prestasi negara ketika ini berada pada tahap yang baik, sebahagiannya disumbangkan oleh tahap keamanan terus dapat dinikmati rakyat.

Tambah beliau, kedudukan strategik Malaysia termasuk di Laut China Selatan, Lautan Hindi dan Selat Melaka menjadikan aspek keselamatan sebagai keutamaan negara.

“Keamanan dinikmati ketika ini adalah hasil dasar luar yang seimbang serta kesiapsiagaan agensi pertahanan dan keselamatan.

“Di sebalik semua pencapaian dan prestasi yang dicapai negara, peranan angkatan bersenjata kekal sebagai tunjang utama keselamatan dan kestabilan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI