Isu rumah 245 keluarga di estet Hulu Selangor selesai minggu hadapan

TELUK INTAN – Isu perumahan yang membelengu 245 keluarga di lima estet di Hulu Selangor, akan diselesaikan minggu hadapan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Menurut Kor Ming, penduduk dari Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak dan Ladang Bukit Tagar telah berhadapan isu perumahan dan pengusiran paksa sejak 26 tahun lalu.

Beliau berkata, masalah tersebut wujud sejak 1998 lagi namun sehingga kini masih belum ada penyelesaian.

“Di bawah Kerajaan Malaysia Madani dengan jasa baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perbincangan bersama Menteri Besar Selangor.

“Maka minggu depan kita akan bawa satu berita baik, masalah perumahan telah berlarutan sekian lama kini sudah sampai ke penghujungnya.

“Berita baik ini akan melibatkan peruntukkan besar ditunggu-tunggu komuniti India itu akhirnya dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Teluk Intan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Perak serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Dewan Bandaran, di sini pada Jumaat.

Terdahulu media melaporkan penduduk dari lima ladang di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu itu mendakwa sudah serik ‘ditipu’ berkali-kali apabila rumah untuk 245 keluarga masih belum dapat dibina meskipun tapak telah disediakan oleh bekas majikan.

Ekoran itu, penduduk telah meletakkan syarat jika ada mana-mana calon yang inginkan sokongan mereka pada hari pengundian 11 Mei ini perlu membuat perakuan berkanun (SD) bagi menunaikan segala janji yang ditabur.

Sementara itu dalam majlis sama, Ahli Parlimen Teluk Intan itu mengumumkan peruntukan sebanyak RM42.65 juta bagi sekolah, masjid dan surau serta pembangunan kawasan Teluk Intan.

Beliau memaklumkan, jumlah tersebut termasuk RM35 juta peruntukan bagi kerja pembinaan jambatan baharu dari Kampung Bahagia ke Bandar Teluk Intan yang akan bermula pada Julai tahun ini.

“Apabila jambatan sepanjang 200 meter ini siap sepenuhnya ia memberi manfaat kepada penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Ia juga akan melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan sejauh 2.4 kilometer sepanjang menuju ke jambatan itu sekaligus menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pelancongan daerah Hilir Perak,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak RM1.7 juta peruntukkan telah disalurkan untuk 45 sekolah kerajaan di daerah Hilir Perak.
“RM 2.5 juta kepada Kampung Bahagia yang dijadikan Kampung Angkat Madani dan RM2.5 juta lagi bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan Jambatan Batak Rabit.

“Peruntukan Masjid dan Surau Pejabat Menteri Besar Perak 2023 pula sebanyak RM865,232 dan RM72,000 pula kepada 24 masjid di kawasan Parlimen Teluk Intan,” katanya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI