Isu surat layang HRPB: Doktor didakwa terlibat buat laporan polis

IPOH – Doktor yang didakwa melakukan gangguan seksual dan ugutan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menerusi surat layang yang tular di media sosial baru-baru ini bertindak membuat laporan polis pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 43 tahun itu membuat laporan tersebut susulan penularan surat layang yang memburukkan nama individu berkenaan.

“Siasatan awal mendapati surat layang yang tersebar menuduh pengadu dan beberapa kakitangan lain melakukan perbuatan terkutuk terhadap kakitangan khususnya doktor pelatih (housemen) yang bekerja di Jabatan Ortopedik hospital tersebut.

“Justeru, kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Fitnah) atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Sabtu.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-250 0019 bagi membantu siasatan

“Polis menasihatkan orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berunsur khabar angin atau fitnah yang boleh menjejaskan kredibiliti seseorang,” jelasnya.

Terdahulu, MG Perak melaporkan sebuah Jawatankuasa Penyiasatan Bebas ditubuhkan bagi menyiasat surat layang yang mendakwa seorang doktor di HRPB di sini melakukan gangguan seksual dan ugutan ke atas kakitangan hospital berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, jawatankuasa tersebut ditubuhkan pada 29 Februari lalu sehari selepas HRPB menerima surat layang itu melalui pos. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Doktor laku gangguan seksual: JKN Perak tubuh Jawatankuasa Penyiasatan Bebas

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI