IPOH – Polis mengesahkan menerima tiga laporan berhubung aktivis dan pelakon Rafidah Ibrahim yang didakwa cuba memanipulasi isu Surau Al-Karamah, Kampung Seri Keramat, Pasir Puteh, di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, semua laporan itu dibuat di Ipoh oleh pelbagai pihak semalam.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, setakat ini pihaknya masih belum memanggil Rafidah untuk memberi keterangan.
“Kita telah terima tiga laporan yang dibuat di Ipoh namun belum lagi dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Polis Kontinjen Perak 2025 di Mes Pegawai Kanan Polis, di sini pada Khamis.
Seramai 115 orang hadir pada majlis tersebut terdiri daripada warga kerja Polis Kontinjen Perak termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 5 dan Marin Kampung Acheh.
Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai perhimpunan yang dijadual diadakan di surau tersebut serta dikaitkan dengan Rafidah pada hari ini.
“Dia ajak berhimpun pada 2 Oktober, hari ini, tapi tak jadi,“ jawabnya ringkas.
Terdahulu, aktivis dan pelakon, Rafidah menerusi video pendek di media sosial mendakwa Surau Al- Karamah di Pasir Puteh bakal dirobohkan oleh pemaju perumahan kerana ia bakal dibina jalan raya.
Menurut laporan media sebelum ini, isu yang pernah dibangkitkan kira-kira empat tahun lalu itu telah diselesaikan dengan baik melalui pembinaan sebuah bangunan surau baru yang terletak tidak jauh dari tapak surau lama. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
AMK Perak buat laporan polis libat ‘selebriti‘ cuba manipulasi isu Surau Al-Karamah