Isu Surau al-Karamah: Tapak surau lama tidak pernah diwakafkan – MAIPK

IPOH – Tindakan seorang ‘selebriti’ mensensasikan fakta tidak tepat berhubung isu Surau al-Karamah bertujuan mengundang kekeliruan dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan sebarang maklumat berkait bangunan yang didirikan dan digunakan sebagai surau di Kampung Seri Keramat, Pasir Puteh, dekat sini.

Menjelaskan tentang situasi sebenar, beliau berkata, bangunan lama surau tersebut telah dibina tanpa sebarang permohonan dan kelulusan daripada MAIPk, serta berada di atas tanah milik syarikat pemaju swasta.

Kata Mohd Annuar, justeru itu pembinaan bangunan tersebut tidak sah dan bertentangan dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Peruntukan subseksyen 87(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 mensyaratkan mana-mana bangunan yang ingin dibina, diguna atau diiktiraf sebagai masjid atau surau mestilah didirikan di atas tanah yang telah diwakafkan secara sah atas nama MAIPk.

“Dalam isu ini, tapak bangunan tersebut tidak pernah diwakafkan, tidak berdaftar sebagai harta wakaf MAIPk, dan tiada sebarang permohonan rasmi dibuat sebelum pembinaannya,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Jelas Mohd Annuar, di samping itu Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak bertarikh 30 September hingga 1 Oktober 2020 telah menetapkan bahawa surau tersebut perlu dipindahkan kerana berada di atas tanah bukan wakaf.

Isu Surau Al-Karamah Pasir Puteh MAIPk, Mohd Annuar Zaini, tanah wakaf Perak, isu surau lama, fatwa Negeri Perak, surau baharu Pasir Puteh, Rafidah Ibrahim, isu agama Perak, berita Perak, Ipoh
Gambar fail. Bangunan lama Surau Al-Karamah, Kampung Seri Keramat, di Pasir Puteh, Ipoh.

Kata beliau, bagi menyelesaikan isu berkenaan secara harmoni dan teratur menurut undang-undang, kerajaan negeri telah memperuntukkan tapak baharu yang diwakafkan secara sah atas nama MAIPK, yang mana terletak kira-kira 250 meter dari tapak asal.

Jelas Mohd Annuar lagi, syarikat pemaju juga telah mengambil langkah bertanggungjawab dengan menanggung sepenuhnya kos pembinaan surau baru di tapak yang telah diwakafkan atas nama pihak berkuasa agama negeri itu.

“Bangunan surau ganti yang baru telah siap dan telah digunakan. Manakala Jawatankuasa Surau yang sah telah dilantik oleh MAIPK pada 2 Januari 2024.

“Jawatankuasa itu dilantik bagi menguruskan bangunan surau baharu tersebut mengikut undang-undang, peraturan, dan arahan pentadbiran yang ditetapkan,” katanya.

Justeru tegas beliau, setiap pembinaan rumah ibadat bagi umat Islam di Negeri Perak harus dibuat dengan kebenaran MAIPk, serta mematuhi syarat-syarat yang diperuntukkan oleh undang-undang serta kehendak syarak.

Terdahulu, aktivis dan pelakon, Rafidah Ibrahim menerusi video pendek di media sosial mendakwa Surau al-Karamah di Pasir Puteh bakal dirobohkan oleh pemaju perumahan kerana ia bakal dibina jalan raya.

Menurut laporan media sebelum ini, isu yang pernah dibangkitkan kira-kira empat tahun lalu itu telah diselesaikan dengan baik melalui pembinaan sebuah bangunan surau baru yang terletak tidak jauh dari tapak surau lama. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Surau al-Karamah: ‘Isu sudah lama selesai, orang luar cuba ungkit’

Bangunan baharu Surau al-Karamah semakin imarah, sedia sambut Ramadan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI