IPOH – Pemain boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple yang menyumbangkan satu pingat emas menerusi skuad triples pada Kejohanan Boling Padang Asia ke-16 Clark, Filipina baru-baru ini dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Perak bagi tahun 2023/2024
Kejayaan itu sekali gus menewaskan dua calon lain iaitu penerima Olahragawan Harapan Negeri Perak bagi tahun 2021/2022 Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan atlet tenis, Mitsuki Leong Wei Kang.
Atlet berusia 43 tahun itu juga pernah menduduki ranking nombor satu dunia tahun lalu serta memenangi pingat emas di beberapa kejohanan antaranya Hong Kong International Bowls Classic 2023 dan Asian Lawn Bowls Championship di Kuala Lumpur pada tahun yang sama.
Bagi Olahragawati Negeri Perak pula diungguli atlet tenpin boling, Sin Li Jane yang menewaskan dua lagi calon iaitu atlet boling padang, Aleena Ahmad Nawawi dan atlet berbasikal, Nyo Chi Hui.
Lin Jane, pernah melakar sejarah apabila muncul pemain boling pertama negara memenangi Kejohanan Terbuka Wanita Amerika Syarikat (AS) di Royal Pin Woodland, Indianapolis pada tahun lalu.
Kedua-dua olahragawan dan olahragawati masing-masing menerima insentif RM7,000, blazer, trofi serta piala pusingan.
Majlis penyampaian disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersempena Anugerah Sukan Negeri Perak 2023/2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Rabu.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Sementara itu bagi Olahragawan Harapan, dimenangi atlet bola tampar pantai Low Jeng Yeh menewaskan dua lagi atlet berpotensi dari sukan menembak, Nazirul Iqbal Roszaini dan rakan seperjuangan beliau, Teh You Hao.
Olahragawati Harapan pula dianugerahkan kepada atlet renang, Joelle Chan Zu-Ee sekaligus menewaskan atlet olahraga, Farah Syakira Azifsafarin dan atlet golf, Siti Nur Husna Abd Karim Nast.
Masing-masing menerima piala pusingan dan insentif bernilai RM3,000.
Dalam pada itu, Anugerah Atlet Terbaik Para Lelaki disandang, atleh berbasikal, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin manakala Atlet Terbaik Para Wanita dimenangi, Nur Suraiya Muhammad Zamri dari sukan yang sama.
Keempat-empat anugerah tersebut disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sementara itu, bagi kategori Jurulatih Terbaik pula diberikan Hishamuddin Mohd Zaki (berbasikal); Pasukan Terbaik pula milik Pasukan Perak Bison (sepak takraw);Anugerah Khas Persatuan Negeri disandang, Persatuan Golf Perak dan Kategori Kepimpinan Sukan dimenangi, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (sepak takraw).
Anugerah Jasamu Dikenang disandang, Mohd Jamil Zakaria (bola sepak) dan Anugerah Keluarga Sukan dianugerahkan kepada, Mohamad Ayob Kamaruddin (tenpin bowling) manakala Anugerah Media pula diberikan kepada Mohd Fitri Azman (Jabatan Penyiaran Negeri Perak) dan Razif Rosli (Bernama).
Anugerah berkenaan disampaikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah– MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak Bison sasar empat terbaik STL 2025