Jabatan Perhutanan diminta pasang siren amaran di lokasi air terjun

BAGAN SERAI – Kerajaan Negeri Perak meminta Jabatan Perhutanan memasang siren amaran di kawasan air terjun bagi memberi amaran awal jika berlaku fenomena kepala air.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini Jabatan Perhutanan sudah memasang siren amaran di beberapa kawasan air terjun.

“Sehubungan itu, kita minta di bawah penyelenggaraan dan pengawasan Jabatan Perhutanan melihat (kawasan sesuai) untuk menyediakan siren amaran,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian tragedi kepala air yang mengorbankan empat sekeluarga di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor semalam.

Saarani turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa berwaspada ketika bermandi manda di kawasan air terjun terutamanya dalam keadaan cuaca hujan yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

“Walaupun orang kata kawasan itu belum pernah berlaku kepala air, tidak bermakna ia tidak akan berlaku.

“Sekarang ini hujan tidak mengikut musim. Kalau hujan berlaku di hulu sungai maka kepala air akan terjadi. Sebab hujan lebat itu akan menyebabkan (air) begitu besar dan kuat dan itulah kita panggil kepala air.

“Justeru, sesiapa pun yang berada di kawasan untuk beriadah, mandi manda di mana-mana sungai yang ada air terjun, kena sentiasa berwaspada,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri sedang menunggu laporan daripada Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungkai berhubung kejadian tersebut.

Terdahulu, MG Perak melaporkan keriangan tujuh sekeluarga yang sedang berkelah di kawasan Sungai Kenjur bertukar tragedi selepas terperangkap dalam kejadian kelapa air sekitar jam 4 petang semalam.

Empat daripada mangsa iaitu seorang wanita bersama tiga anaknya dipercayai hilang dihanyutkan arus deras sementara tiga lagi terselamat.

Jasad Aszura Bani, 37, ditemukan pada kedudukan kira-kira 600 meter dari lokasi perkelahan oleh penduduk kampung sekitar jam 4.30 petang, hari sama.

Dalam kejadian sama, ia turut melibatkan kakak kepada Aszura, Aslinda Bani, 38, dan anak lelakinya berusia 11 tahun.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka bersama dengan seorang pengasuh wanita warga Indonesia berusia 30-an dilaporkan selamat. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI