Jabatan Perikanan Perak rampas vesel, peralatan menangkap ikan bernilai lebih RM3.5 juta

LUMUT – Jabatan Perikanan Perak dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 1 menyita dua buah vesel, 666 bubu naga dan dua set galah sampan rawa sorong bernilai RM3.56 juta, yang merupakan rampasan terbesar setakat ini.

Pengarah Perikanan Perak Mohd Ghazali Abdul Manap berkata rampasan dibuat menerusi Op Inter Agensi dari 13 Okt hingga hari ini, melibatkan 30 anggota daripada dua jabatan tersebut.

“Berdasarkan maklumat risikan, dua vesel Zon C dikesan menceroboh perairan kurang 15 batu nautika dari pantai sebelum ditahan ketika menunda pada jarak 10.9 batu nautika dari Pulau Buluh, Kepulauan Sembilan.

“Pemeriksaan mendapati vesel itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana membabitkan tangkapan kurang 15 batu nautika selain menggunakan pukat tunda dengan saiz kurang 38 milimeter yang dilarang,” katanya.

Mohd Ghazali berkata demikian pada sidang media di Pangkalan Program Pemantauan, Pengawalan dan Pengawasan (MCS) Perikanan di Kampung Acheh, di sini hari ini.

Beliau berkata sembilan kru vesel warga Myanmar turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata rampasan bubu naga dan dua set galah rawa sorong dibuat di sekitar pangkalan jeti nelayan sekitar Panchor, dengan semua barangan itu dibawa ke Pangkalan MCS untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata rampasan dibuat berdasarkan kesalahan mengikut peraturan di bawah Seksyen 8 (a) akta sama dan Peraturan 2 Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1982.

“Pihak kami memandang serius kesalahan itu dan tindakan penguatkuasaan akan terus dilakukan untuk memelihara sumber perikanan negeri,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI