KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam di negara ini menghadapi cabaran membina bangsa dan negara bersama-sama dengan berpaksikan sunah serta meneladani perjuangan Rasulullah SAW.
Beliau berkata, melalui kepimpinan Baginda di Madinah, Rasulullah telah meletakkan asas-asas kemadanian seperti martabat insan, prinsip keadilan dan kedaulatan hukum, nilai ilmu dan akhlak serta nilai-nilai kemanusiaan berasaskan nilai-nilai keagamaan.
“Masyarakat madani dalam erti umat yang berjaya dibentuk oleh Nabi SAW di Madinah itu adalah khayra ummah, iaitu masyarakat atau umat unggul.
“Umat ini dicirikan dengan keimanan, nilai-nilai khayr (kebaikan), memberi manfaat kepada kemanusiaan sejagat, serta beriltizam terhadap tanggungjawab pendaulatan nilai-nilai ma’ruf dan pembasmian gejala-gejala mungkar,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook sempena Maulidur Rasul 1447H/2025M hari ini.
Anwar berkata, dengan penghayatan dan kefahaman mendalam mengenai esensi ajaran dan warisan Nabi SAW, ia akan terus memandu dan menggerakkan seluruh umat Islam untuk berkerja lebih kuat, berdisiplin dan optimis terhadap masa depan. – BERNAMA