JAIPk mohon maaf kontroversi lawatan ke rumah ibadat bukan Islam

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) tampil memohon maaf susulan penyebaran klip video program lawatan ke sebuah rumah ibadat bukan Islam di ibu negara pada 30 Julai lalu.

JAIPk dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pihaknya amat kesal dengan polemik yang timbul berikutan penyebaran klip video tersebut.

“JAIPk memohon maaf kepada semua pihak terutamanya umat Islam atas kontroversi yang timbul susulan penganjuran kursus serta kenyataan peserta berkenaan sehingga menimbulkan salah faham selain menjejaskan nama baik Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa agama.

“Sebagai antara jabatan yang diberi amanah mengurus hal ehwal dan kepentingan agama Islam, JAIPk tidak sesekali mengendurkan pegangan terhadap prinsip-prinsip maqasid syariah yang selama ini mendasari perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri Perak,” katanya.

JAIPk dalam kenyataan tersebut menjelaskan klip video tersebut merupakan lawatan yang diadakan secara tertutup dan dikendalikan oleh Global Unity Network (UNITY) dengan kerjasamanya melibatkan 32 orang peserta terpilih dari seluruh Perak.

Ujarnya kesemua peserta terlibat sedang mengikuti lima kursus dakwah di bawah JAIPk yang bertujuan meningkatkan kefahaman mereka mengenai hal ehwal aktiviti dakwah, manakala lawatan berkenaan adalah salah satu modul dalam kursus tersebut.

“Lawatan itu adalah sebahagian daripada pengisian kursus untuk melatih dan meningkatkan keyakinan para peserta dalam menyampaikan dakwah terutamanya bagi membetulkan banyak salah faham mengenai Islam termasuk kebencian akibat sentimen Islamphobia.

“Bagaimanapun, lawatan berkenaan bertukar menjadi polemik apabila sebuah akhbar menyiarkan klip video kenyataan salah seorang peserta wanita yang telah menimbulkan salah faham sehingga mengundang perdebatan hangat di laman media sosial.

“Jabatan ini juga terpanggil untuk menjelaskan bahawa wanita berkenaan BUKAN pegawai atau kakitangan JAIPk seperti yang didakwa, sebaliknya merupakan salah seorang peserta yang mengikuti kursus berkenaan secara sukarela,” katanya.

Katanya lagi, JAIPk mengambil maklum mengenai arahan dan beberapa ketetapan yang dibuat Kerajaan Negeri Perak setelah mendapat titah nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya isu tersebut ditangani dengan segera bagi mengelakkan ia terus menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

“Bagi mencegah kontoversi seumpamanya berulang, JAIPk akan mengkaji semula modul dan kaedah pelaksanaan kursus berkenaan selain menetapkan garis panduan khusus kepada peserta yang menyertai program dakwah yang dianjurkan jabatan ini pada masa hadapan,” katanya.

Kenyataan itu turut menyatakan pihak JAIPk juga akan berbincang dengan para pemegang taruh serta pihak-pihak berkuasa agama Islam yang lain termasuk Jabatan Mufti Negeri Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk memikirkan kaedah atau pendekatan kursus dakwah yang lebih sesuai. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

UMNO Perak desak JAIPk kaji semula modul program elak fitnah

Kerajaan Perak panggil JAIPk perjelas isu lawatan kuil

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

  1. Buang petugas yg bagi kenyataan akhbsr lawatan ITU Dan buang kakitangan yg jadi AJKNYA… BAGI SURAT TUNJOK SEBAB DIATAS KEBODOHANYA KETERLANJURANYA.

  2. Ambil tindakan kepada mereka yang terlibat..Pihak yang mengadakan krusus patut bertanggungjawap kerana mereka tidak ada kepentingan dalam kemajuan . Apakah program tersebut memberi kentungan kepada JAIPKs SERTA KEMAJUAN UMAT ISLAM?
    Sepatutnya memikirkan bagaimana memesatkan perkembangan dakwah.Mereka yang terlibat patut dibuang daripada jabataan supaya pemikiran sekular dalam JAIPk dapat dihindari.
    Jangan memberi alasan yang tidak logik bila sedar bahawa pihak anda sudah silap.Jangan memalukan umat Islam Negeri Perak.

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI