IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sedang memantau dan meneliti insiden tanah perkuburan yang terjejas termasuk mayat terkeluar daripada keranda akibat banjir di Trong baru-baru ini.
Timbalan Pengarah JAIPk, Mohd Kamal Mohamad Noor berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai dakwaan penduduk yang menyatakan kejadian seumpamanya sebenarnya telah berlaku sejak tahun 2018 namun tiada tindakan diambil.
“Perkara itu dalam perhatian tindakan JAIPk. Kita akan menyelia dan mengurus bersama dengan Pejabat Agama Islam Daerah berkenaan.
“Saya hanya boleh beri pandangan setakat ini sahaja sehinggalah Pengarah JAIPk membuat tindakan rasmi nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Himpunan Anak-Anak Gayong Serantau dan Semalaysia Edisi Ketiga di Dewan Serbaguna Masjid Muhammadiah, Taman Tasek Jaya di sini pada Ahad.
Hadir sama pada majlis itu, Waris Amanah Mahaguru Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia (PSGSM), Prof Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dan Yang Dipertua PSGSM Perak, Hasnul Fairuz Hushin Amri.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu kesilapan nama pada batu nisan, Mohd Kamal berkata, perkara tersebut bukan di bawah bidang kuasa JAIPk.
“Biasanya kita akan rujuk kepada pihak berkenaan tentang nama yang tersilap pada batu nisan ini. Kita akan dapat nasihat pandangan daripada Jabatan Mufti Perak,” jelasnya.
Sebelum ini media melaporkan, kejadian hujan lebat berterusan di sekitar daerah Larut Matang dan Selama (LMS) semalam turut menjejaskan keadaan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Toh Johan Kuala Trong.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilaporkan berkata, kejadian itu menyebabkan beberapa batu nisan tercabut dan keranda turut terkeluar akibat hakisan di tanah perkuburan tersebut.
Menurutnya, situasi itu memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ahli Parlimen Bukit Gantang segera bantu baiki kubur terjejas akibat banjir


