Jalan gelap bukan punca nahas 15 pelajar UPSI maut – JKR Perak

IPOH – Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak menafikan dakwaan bahawa keadaan gelap di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, merupakan punca utama nahas jalan raya yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi Isnin lalu.

Pengarah JKR Perak, Ir Zamri Mat Kasim berkata, pemeriksaan mendapati struktur dan permukaan jalan di lokasi kejadian berada dalam keadaan baik.

“Pemantauan terkini di lokasi mendapati permukaan jalan adalah baik serta tiada lubang atau ‘pothole’.

“Malah, infrastruktur asas di kawasan berkenaan lengkap dengan penghadang jalan, papan tanda ‘chevron’ dan papan tanda jalan.

“Sebaliknya hasil laporan awal pihak polis mendapati kemalangan disebabkan kelajuan yang tidak munasabah oleh pemandu bas ,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Pada Isnin media melaporkan, 15 pelajar UPSI maut selepas bas yang dinaiki mereka terlibat nahas dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di kilometer (km) 53, di JRTB Jeli-Gerik, di Gerik.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pada hari sama, memaklumkan keadaan jalan di lokasi kejadian berselekoh, menurun dan tidak mempunyai pencahayaan jalan.

Beliau turut berkata, tiada sebarang lampu jalan di kawasan terbabit kecuali berhampiran jambatan di Pulau Banding.

Mengulas lanjut, Zamri memaklumkan Bahagian Kejuruteraan Forensik Cawangan Jalan JKR Malaysia kini menjalankan kajian lanjut di lokasi kejadian bagi melengkapkan laporan siasatan.

Beliau turut memaklumkan bahawa JKR Perak sedang dalam proses ke arah pemasangan sebanyak 385 unit lampu jalan berkuasa solar di sepanjang laluan tersebut.

“Tender bagi projek ini telah ditutup dan dijangka dianugerahkan pada Julai ini untuk kerja-kerja pemasangan.

“Selain itu, laluan terbabit juga telah menerima peruntukan bagi kerja menurap semula jalan serta penambahbaikan garisan jalan,” katanya.- MG Perak

Artikel Berkaitan:

Nahas pelajar UPSI: Tunggu pemandu bas ‘discaj’ untuk mohon reman – Polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI